SENATOR Datuk Bashir Alias dilantik Pengerusi Perbadanan Labuan (PL) yang baharu untuk tempoh dua tahun mulai 1 Julai 2022.
Pelantikan tersebut bagi menggantikan Datuk Seri Amir Hussien yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Jun lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata Bashir yang sebelum ini merupakan Pengerusi Majlis Penasihat PL mempunyai pengalaman yang luas di Wilayah Persekutuan Labuan dan telah dilantik memegang beberapa jawatan penting dalam agensi kerajaan.
“Pelantikan tersebut berdasarkan perkhidmatan beliau dalam Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Majlis Penasihat PL.
“Pelantikan tersebut adalah selaras dengan perenggan 5(1)(a) Akta Perbadanan Labuan 2001 [Akta 609],” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar.
Turut hadir Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Yasir Yahya dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Shahidan turut mengumumkan pelantikan Amir sebagai Pengerusi Majlis Penasihat
PL yang baharu menggantikan Bashir adalah selaras dengan perenggan 6(1)(a)
Akta Perbadanan Labuan 2001 [Akta 609].
“Datuk Seri Amir Hussien mempunyai pengalaman yang luas di Wilayah
Persekutuan Labuan berdasarkan perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan Anak Tempatan Labuan serta pernah menjadi Ahli
dalam Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di Labuan, selain beliau juga
pernah menjadi Pengerusi PL.
“Saya percaya dengan pengalaman luas serta daya kepimpinan beliau, Majlis
Penasihat Pl akan mempunyai sistem sokongan yang kukuh
serta mampu memberikan nasihat kepada dalam usaha memastikan ia terus menambahbaik sistem penyampaian
perkhidmatan kepada rakyat sebagai sebuah kerajaan tempatan,” katanya. —WILAYAHKU