Berita

Dua taman perumahan dapat Gred A

MAHADI (tengah) menyampaikan anugerah Penarafan Gred A kepada Pejabat Cawangan Cheras dan Kepong. MAHADI (tengah) menyampaikan anugerah Penarafan Gred A kepada Pejabat Cawangan Cheras dan Kepong
- Diterbit 28 Mei 2022 1:00 AM MYT

DUA kawasan perumahan dalam, Taman Petaling dalam Parlimen Kepong dan Taman Billion dalam Parlimen Cheras mendapat penarafan Gred A bagi pelaksanaan Blueprint Penarafan Kebersihan WPKL bagi Fasa 2/2021.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata penarafan tersebut diberikan bagi mengiktiraf peranan agensi dan masyarakat yang berusaha bagi mencapai matlamat dan aspirasi KL Bersih dan Indah.

“Pelaksanaan Blueprint Penarafan Kebersihan ini bertepatan dengan mandat dan aspirasi DBKL yang bermula dengan dua kawasan tumpuan ramai iaitu Blueprint Kebersihan kawasan Bukit Bintang pada Disember 2012 dan Blueprint Kebersihan kawasan Jalan Petaling pada Disember 2013.

“Program ini dilaksanakan bagi menaik taraf status kebersihan serta keindahan Bandar Raya Kuala Lumpur dan ia diwujudkan bagi mendapat satu penanda aras (benchmark) status kebersihan dan keindahan Kuala Lumpur,” katanya.

MAHADI memakaikan vest kepada Ketua Flying Squad DBKL, Mustapha Mohyidin sebagai mengiktiraf peranan yang dilaksanakan pasukan ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Apresiasi Blueprint Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi Fasa 2/Tahun 2021 pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Anwar Mohd Zain; Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Wilayah Persekutuan (SWCorp) Ummi Kalthum Shuib dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan.

Menurut Mahadi, pelaksanaan blueprint melibatkan lima elemen utama yang turut mengambil kira penglibatan masyarakat setempat serta pihak berkepentingan (stakeholder).

“Antara lima elemen utama adalah penambahbaikan infrastruktur, pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam, penguatkuasaan bersepadu dan kesedaran awam terhadap program kebersihan yang dijalankan,” katanya.

Tambahnya, penilaian penarafan akan diadakan sebanyak tiga kali setahun oleh panel penilai yang telah dilantik oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Pada majlis tersebut, DBKL turut meraikan Pasukan Flying Squad yang merupakan pasukan barisan hadapan yang bersiap siaga di setiap kawasan hot spot banjir kilat bagi mengatasi masalah tersebut. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas