KAJIAN terperinci yang akan dilakukan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur yang dikatakan lebih sesak pada masa kini.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata beberapa pendekatan akan diambil untuk mengatasi perkara ini dalam kadar segera bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya di Kuala Lumpur.
“Saya akui dalam tempoh Syawal ini, kesesakan di Kuala Lumpur luar biasa dan minta DBKL untuk melakukan kajian terperinci meskipun ia tidak dapat diatasi 100 peratus namun usaha ini perlu dalam membantu mengurangkan kesesakan pengguna di Kuala Lumpur.
“Beberapa pendekatan akan diambil dan antaranya ialah pengurusan sistem lampu isyarat di pusat bandar dan pinggir bandar yang diuruskan oleh dua syarikat berbeza perlu diselaraskan terlebih dahulu bagi memastikan trafik tidak tersekat di mana-mana,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri di Pusat Transformasi Anjung Kelana, Taman Desa, baru-baru ini.
Tambahnya, perkara ini akan diteliti oleh Datuk Bandar sekiranya terdapat keperluan untuk tidak lagi menggunakan dua sistem berbeza.
“Kita mempunyai dua sistem yang diguna pakai oleh pihak DBKL di mana di pusat bandar sistem lampu isyaratnya dikendalikan oleh syarikat luar negara dan pinggir bandar dikendalikan oleh syarikat lain dalam negara.
“Hasil penelitian saya, komunikasi yang kurang baik antara dua syarikat ini menyebabkan kesesakan berlaku berikutan pertambahan kenderaan yang berlipat ganda terutama di waktu puncak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, faktor lain yang menyebabkan kesesakan juga akan diberi perhatian dalam menangani isu kesesakan di Kuala Lumpur.
“Bukan hanya lampu isyarat, kemasukan kenderaan berat pada waktu tidak dibenarkan dan sikap pengguna juga menjadi penyumbang kepada kesesakan di mana mereka meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan sehingga mengganggu aliran trafik.
“Dalam masa yang sama peniaga membuka gerai jualan di tempat yang tidak dibenarkan juga antara percaturan dan perhatian yang perlu dalam mengatasi kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur ini,” katanya.
Jelasnya lagi semua perkara ini akan dikemukakan secara lengkap dalam Pasca Kabinet Kementerian Wilayah Persekutuan (Postcab) bagi tindakan segera diambil untuk mengatasi masalah kesesakan.
Terdahulu, menurut Indeks Trafik Tomtom, kesesakan semasa waktu puncak di sebelah pagi dan petang di Kuala Lumpur konsisten memburuk dalam tempoh tujuh hari terakhir, berbanding masa yang sama pada tahun 2019. -WILAYAHKU