SAMBUTAN lebaran diserikan dengan banyak lagu raya baharu termasuk daripada barisan artis muda yang turut memikat selera pendengar masa kini.
Berbanding lagu raya lama, karya moden zaman kini lebih menjurus ke arah sesuatu yang rancak dan menghiburkan. Tiada lagi lirik dan muzik yang mampu menderu air mata.
Mengaku selera pendengar yang sentiasa berubah-ubah, penyanyi lagenda negara, Ramlah Ram mengaku berasa agak bimbang dan berdebar setelah muncul dengan lagu raya berjudul Kemenangan.
Video muzik lagu ciptaan Mohar dan lirik oleh Ismi dan Ramlah Ram sendiri ini baru sahaja dilancarkan baru-baru inj di saluran YouTube Ramlah Ram Group.
“Setelah sekian lama saya tak keluarkan single raya, jujur cakap saya rasa agak nervous dan bimbang dengan penerimaan lagu ini. Ini disebabkan trend lagu sekarang dah lain.
“Saya lihat bakat-bakat muda sangat kreatif dalam menghasilkan lagu raya. Dalam masa yang sama lagu mereka menepati selera pendengar sekarang.
“Apa-apa pun saya yakin lagu Kemenangan yang l berkonsepkan keMelayuan begini akan terus malar segar dan melekat di hati pendengar setiap kali menjelang raya,’ katanya.

Ramlah akui lebih gemar mengekalkan ciri-ciri tradisional Melayu dalam lagu raya yang dinyanyikannya.
“Tak dinafikan, terpulang kepada pendengar untuk menilai sesuatu lagu dan mereka yang tentukan untuk suka ataupun tidak.
“Tetapi saya secara peribadi kalau boleh biarkanlah lagu raya itu dikekalkan dengan elemen tradisional yang boleh menjadikan sesuatu karya itu malar segar.
“Kalau nak tambah elemen baharu yang lebih moden pun, saya rasa tidak perlulah keterlaluan sehingga menghilangkan feel lagu raya yang sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Ramlah Ram juga meluahkan rasa syukur apabila ada pihak yang sudi menaja kos video muzik Kemenangan.
Bagi penyanyi lagu Ketentuan ini, tajaan itu sedikit sebanyak menaikkan semangatnya untuk bangkit dalam fasa peralihan endemik.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada adik saya Zoey Rahman yang juga pengasas produk Mikaseries kerana sudi menaja pembikinan muzik video Kemenangan bersama Bangsawan Picture.
“Saya sangat terharu tak sangka Zoey dan team sayang saya sampai macam ni, akak sayang korang.
“Dan saya hadiahkan lagu kemenangan ini buat semua peminat yang menyokong saya selama ini,” tambahnya lagi.
Kepada peminat Ramlah Ram jangan lupa dengar dan request lagu Kemenangan di mana-mana carta radio. – WILAYAHKU