BAZAR Ramadan Labuan Walk di sini yang menempatkan kira-kira 109 lot gerai beroperasi secara tersusun dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, hasil pemantauan mendapati rata-rata peniaga sentiasa menjaga kebersihan serta SOP.
“Kita nampak pengunjung-pengunjung membeli makanan juadah berbuka puasa dengan teratur walaupun kita telah memasuki fasa endemik,” katanya kepada pemberita selepas program turun padang (TUPA) ke Bazar Ramadan di Labuan Walk, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rithuan memaklumkan pihaknya turut menyediakan surau sementara di kawasan bazar Ramadan bagi kegunaan peniaga dan pengunjung.
“Kita mengambil pandangan dan nasihat daripada Ahli Majlis Penasihat PL yang mengetengahkan cadangan menyediakan ruang solat.
“Kita harap ianya dapat memudahkan para peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan ini. Hadir sama, Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PL, Hamir Zahari.
Dalam pada itu, mengulas mengenai aktiviti berbuka puasa di kawasan Dataran Labuan, Rithuan berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang larangan kepada orang awam.
“Walau bagaimanapun, orang ramai diminta agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan itu dan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. – WILAYAHKU