Berita

Borang K keluar setelah bayaran pampasan – JKPTG

PERBADANAN Pembangunan Kampong Bharu (PKB) selaku pemegang hak kepada rumah flat tiada halangan dan membenarkan bekas pemilik untuk terus mendiami rumah flat yang terlibat sehingga 31 Julai 2022. PANGSAPURI Kampung Sungai Baru berusia lebih 50 tahun.
- Diterbit 14 April 2022 6:05 AM MYT

JABATAN Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) menjelaskan setelah bayaran pampasan dibayar kepada pihak berkepentingan barulah JKPTG mengeluarkan Borang K iaitu notis bahawa milikan tanah/peletakhakkan petak telah diambil bagi penduduk di tanah projek pembangunan semula Sungai Baru.

Katanya dalam satu kenyataan, pengeluaran surat iringan adalah satu prosedur standard dalam proses pengambilan tanah bagi memaklumkan bahawa rumah flat diletakhakkan kepada badan berkanun yang berkenaan iaitu Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

Ia menjelaskan, pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru telah diwartakan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) pada 21 Jun 2021.

“Pengambilan ini membabitkan 72 unit rumah flat, 37 unit rumah teres dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB). Bayaran pampasan rumah flat mula dibayar secara berperingkat pada Februari 2022 dan dibayar dalam lingkungan RM198,000 hingga RM350,000 mengikut prinsip Jadual Pertama, APT 1960,” kata JKPTG.

Tegasnya, mana-mana pemilik rumah yang tidak berpuas hati dengan award Pentadbir Tanah bolehlah mengemukakan bantahan melalui Borang N APT 1960 dalam tempoh 42 hari dari tarikh award.

Ia berkata, PKB selaku pemegang hak kepada rumah flat tiada halangan dan membenarkan bekas pemilik untuk terus mendiami rumah flat yang terlibat sehingga 31 Julai 2022. PKB akan mengeluarkan surat kebenaran kepada bekas pemilik yang terlibat selepas Borang K dikeluarkan oleh JKPTG.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan penduduk rumah flat Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur kecewa selepas menerima Borang K dalam bulan Ramadan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas