Berita

THT idam piala ketiga liga hoki Malaysia

The turtle amat teruja untuk menyapu bersih tiga piala musim ini selepas Piala Sumbangsih dan piala liga, kedua-duanya selepas menewaskan pesaing terkuat, Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 23 Mac 2022 8:44 AM MYT

SELEPAS berjaya meraih dua gelaran juara, Terengganu Hockey Team (THT) kini menyasarkan untuk merebut Piala TNB, piala terakhir yang dipertandingkan dalam kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Jurulatih THT Roslan Jamaluddin berkata skuad The Turtle amat teruja untuk menyapu bersih tiga piala musim ini selepas Piala Sumbangsih dan piala liga, kedua-duanya selepas menewaskan pesaing terkuat, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bagaimanapun, beliau mengakui ia bukanlah tugas mudah kerana memerlukan kerja keras dan komitmen tinggi anak buahnya.

“Insya-Allah kami akan beri yang terbaik untuk melakar kemenangan ketiga musim ini. Ia bukan misi mustahil kerana kita dah menang dua piala.

“Bagaimanapun kita takkan ambil mudah keupayaan lawan, UiTM HA di pusingan separuh akhir nanti kerana setiap kejohanan mempunyai tekanan atau cabaran yang berbeza,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Roslan, kejayaan pasukannya juga diharap dapat membuka mata jurulatih skuad hoki lelaki negara, A.Arulselvaraj untuk menilai kembali pemain THT yang layak untuk diserap ke pasukan kebangsaan.

“Saya fikir Abid (Muhammad Abid Suffian Mat Ruslee) dan Syaman (Syarman Mat Tee) adalah pemain berbakat yang boleh diketengahkan ke skuad kebangsaan,” katanya yang baru semusim membimbing THT.

Sementara itu, pemain berpengalaman THT, Faizal Saari berkata skuad musim ini adalah yang terbaik yang pernah ditampilkan dalam tempoh sembilan tahun.

Oleh itu, beliau yakin pasukannya mampu melakar sejarah dengan memenangi tiga trofi yang diidam-idamkan selama ini.

“Hanya tinggal selangkah sahaja untuk kami mencipta kegemilangan. Melalui kerja keras dan fokus Insya-Allah kami mampu mencapainya,” katanya yang masih berminat untuk menyertai skuad kebangsaan jika diberi peluang. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas