LIMA kawasan yang kerap berlaku banjir kilat sekitar bandaraya Kuala Lumpur akan dipasang siren amaran sebagai usaha memberi peringatan awal kepada penduduk setempat mengenai kemungkinan berlakunya bencana alam itu.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, antara kawasan yang telah dikenal pasti adalah Lorong Kiri Keramat 15, Terowong Chan Sow Lin, Taman U-Thant, Jalan Sembilan di Kampung Cheras Baru dan Sungai Kayu Ara.
“Pemasangan sistem amaran itu merupakan antara inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menambah aset bagi pengurusan bencana banjir, selain pemasangan tambahan 51 unit sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan ‘hotspot’ banjir.
“Kerja-kerja awal pemasangan siren amaran telah pun dimulakan ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) berhubung keberkesanan Terowong Smart di ibu kota dalam menangani masalah banjir kilat di Dewan Rakyat hari ini.
Menjelas lanjut, Jalaluddin berkata, setakat ini sebanyak 13 unit CCTV telah siap dipasang dan bakinya masih dalam proses pemasangan.
“Memang kita maklum Terowong Smart dapat membantu mengurangkan atau mencegah berlakunya banjir kilat, tapi itu tidak boleh menampung keseluruhan kawasan di Kuala Lumpur.
“Disebabkan itu DBKL telah mengambil beberapa pendekatan untuk kita memberikan sistem amaran awal kepada masyarakat dan warga kota tentang kemungkinan berlakunya banjir kilat yang boleh mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata,pihaknya sedang meneliti untuk menambah kekuatan pasukan berkenaan dalam membuat pemantauan cerun dan kawasan berbukit.
“Ketika ini terdapat 3,441 kawasan berbukit dan cerun di Kuala Lumpur yang perlu dipantau pasukan berkenaan yang kini hanya memiliki kekuatan kira-kira 300 orang,” katanya yang menjawab soalan tambahan Hannah Yeoh (PH-Segambut) mengenai sama ada pasukan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL akan diperbesarkan.–WILAYAHKU