PERBADANAN Putrajaya (PPj) muncul sebagai salah satu penerima anugerah ASEAN Tourism Standard Awards peringkat kebangsaan 2022- 2024 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di DoubleTree by Hilton Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 29 penggiat industri pelancongan menerima pengiktirafan tersebut kerana berjaya memenuhi standard ASEAN dan layak menerima pengiktirafan daripada kerajaan.
Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Nancy Shukri, anugerah itu sebagai usaha untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat industri pelancongan.
“Piawaian Pelancongan ASEAN yang selaras dengan Pelan Pelancongan Strategik ASEAN 2016-2025 merupakan standard bagi semua negara anggota ASEAN dan penggiat industri pelancongan serantau.
“Ia digunakan sebagai panduan dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan cemerlang kepada pelancong dengan matlamat menjadikan ASEAN sebagai destinasi yang cemerlang pada skala global,” kata beliau.
Sementara itu, Nancy memaklumkan seramai 14 penerima Malaysia terpilih menerima anugerah di peringkat ASEAN menerusi empat kategori di Majlis Penganugerahan Standard Pelancongan ASEAN 2022-2024 yang berlangsung di Preah Sihanoukville, Kemboja, pada 19 Januari.
“MOTAC mengambil inisiatif menganjurkan majlis ini di peringkat kebangsaan sebagai usaha mengiktiraf penggiat industri pelancongan yang telah memenuhi syarat standard minimum ASEAN,” jelasnya.
Selain anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard, MOTAC turut menyampaikan anugerah ASEAN Green Hotel Standard, ASEAN Sustainable Tourism Standard dan ASEAN MICE Venue Standard kepada penerima sebagai pengiktirafan dan penghormatan kepada perniagaan serta destinasi pelancongan ASEAN. – WILAYAHKU