Berita

Ramai culas bayar yuran penyelenggaraan PPR

RATA-RATA pemilik petak mengambil mudah berkenaan caj penyenggaraan kerana merasakan tiada tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa. RATA-RATA pemilik petak mengambil mudah berkenaan caj penyenggaraan kerana merasakan
- Diterbit 21 Mac 2022 6:00 AM MYT

WARGA Kuala Lumpur yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang culas membayar yuran penyelenggaraan dinasihatkan supaya menjelaskan yuran tersebut kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) atau bakal dikenakan tindakan termasuk menyita harta benda.

Empat penduduk yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas di Setapak, telah berhutang ribuan ringgit kepada JMB mereka setelah enggan membayar yuran penyelenggaraan berdepan tindakan undang-undang apabila pihak berkuasa tempatan, melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB), telah mendapatkan penghakiman saman penghutang untuk mengutip tunggakan yuran penyelenggaraan yang belum dibayar beberapa tahun.

Jurucakap DBKL berkata, menyedari pentingnya kutipan caj penyenggaraan, ejen pengurusan iaitu Tetuan Azmi & Co (Bangi) Sdn Bhd yang dilantik di PPR Kampung Baru Air Panas dengan kerjasama COBKL telah menjalankan tindakan penguatkuasaan melalui saman di Mahkamah dan sitaan harta alih oleh pihak Mahkamah ke atas empat pemilik petak yang mempunyai tunggakan caj penyenggaraan yang tinggi.

“Keengganan pemilik petak memberi kerjasama untuk menjelaskan caj penyenggaraan menyebabkan kerja-kerja penyenggaraan dan pengurusan tidak dapat dijalankan dengan baik.

“Kekurangan sumber kewangan boleh menjejaskan perancangan dan perlaksanaan kerja-kerja penyenggaraan dan pengurusan seperti pembersihan, pembayaran bil utiliti, pembaikan kerosakan, dan penyenggaraan lif,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Jurucakap itu berkata, penguatkuasaan akan dijalankan di bawah Seksyen 86 Akta Pengurusan Strata 2013, dan ditujukan kepada pemilik yang menduduki PPR dan didapati tidak menjelaskan bayaran penyelenggaraan seperti yang ditetapkan.

“Semakin sukar untuk menyelenggara dan mengurus hartanah jika orang ramai tidak membayar yuran penyelenggaraan mereka, dan ada orang yang telah membeli unit itu sejak hari pertama tetapi tidak membayar satu sen pun dalam yuran penyelenggaraan.

“Yuran penyelenggaraan kurang daripada RM100 sebulan, namun orang ramai penduduk masih tetap culas membayar yuran penyelenggaran itu se kali gus menyebabkan masalah berlaku,” katanya.

Jurucakap itu turut menjelaskan bahawa terdapat seorang pemilik petak yang telah berhutang lebih RM15,000 dengan pihak JMB.

“Apabila COB hendak menguatkuasakan undang-undang dan mengambil tindakan, pemilik tersebut bersetuju untuk menjelaskan bayaran tersebut sehari sebelum tindakan diambil.

“Ada juga kes lain yang melibatkan pemilik petak berhutang kira-kira RM8,688, dan bersetuju untuk menjelaskan melalui ansuran bulanan RM500 selepas menerima  saman penghutang penghakiman.

“Ini menunjukkan bahawa mereka mampu membayar, namun mereka eng gan berbuat demikian kerana merasakan tiada tindakan yang diambil,’’ katanya.

Sementara itu, DBKL berkata, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap 30 lagi hartanah berstrata miliknya yang berada dalam keadaan tidak memuaskan berikutan pemilik unit tidak membayar yuran penyelenggaraan.

“Banyak PPR tidak mempunyai JMB yang tegas, justeru kutipan penyelenggaraan tidak memuaskan dan kemudahan di sana seperti lif sentiasa rosak.

“Ini tidak adil kepada pemilik yang membayar dan juga kepada DBKL,’’ katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas