NEGARA kita sememangnya mempunyai kekayaan dalam pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Sejak dahulu lagi, permainan seperti congkak, gasing, batu seremban dan sebagainya diamalkan oleh masyarakat dahulu sebagai satu aktiviti mengisi masa lapang.
Walau bagaimanapun, sayangnya pada zaman moden ini permainan tradisional yang menjadi kebanggaan dan menunjukkan kebudayaan di sesebuah tempat semakin dilupakan oleh golongan muda masa kini.
Kemunculan pelbagai permainan gadget dan perkembangan pesat teknologi masa kini mengakibatkan permainan tradisional semakin dilupakan dan tidak memenangi hati golongan muda.
Oleh itu, usaha memartabatkan semula permainan klasik ini perlu dilakukan agar ianya tidak luput ditelan zaman.
Menyahut usaha untuk mengekalkan tradisi itu, Muzium Chimey mengambil inisiatif menganjurkan Program Singgah Santai yang mengetengahkan aktiviti masyarakat zaman dahulu dan permainan klasik untuk memberi pendedahan kepada generasi muda terutama kanak-kanak.
Bertemakan ‘Kita Orang Kampung’ dianggap sebahagian usaha memartabatkan permainan tradisional di negara ini, di samping memupuk minat orang ramai terhadap permainan tradisional dan cara kehidupan masyarakat dahulu.
Menurut Pembantu Muzium Chimney, Zainon Halon, program itu bertujuan bagi memartabatkan semula permainan klasik serta mendedahkan aktiviti-aktiviti masyarakat dahulu kepada kalangan khalayak ramai khususnya generasi muda masa ini.
Penganjuran itu yang bermula pada 5 Mac sehingga 20 Mac (Sabtu dan Ahad) menyediakan kira-kira 10 permainan tradisional dan beberapa aktiviti tradisi kepada pengunjung.
“Dalam program ini, kita mengetengahkan beberapa permainan klasik dan aktiviti masyarakat dahulu seperti menampi beras (menumbok beras), mengukur kelapa.
“Selain itu, kita turut menyediakan busana tradisional seperti tanjak, samping dan kain batik untuk pengunjung mencuba dan mempelajari cara pemakaiannya.
Zainon berkata, dengan wujudnya program seperti ini ia mampu mengalih sementara pandangan golongan berkenaan daripada gajet.
Tambahnya, sejak program itu dilaksanakan sambutan pengunjung dari luar dan dalam amat menggalakkan di mana ia menunjukkan program ini berjaya seperti yang kita sasarkan.
Malahan, pada masa sama golongan berkenaan mengenali permainan, aktiviti masyarakat dahulu dan secara tidak langsung tradisi kebudayaan ini terus dikenali oleh mereka.
Sementara itu, bagi seorang pengunjung dari Tanah Besar Sabah, Rafiq Rafis, 30, menunjukkan keterujaan apabila merasai pelbagai permainan klasik dan aktiviti masyarakat dahulu.
Katanya, program yang dianjurkan oleh Muzium ini sangat bermanfaat kepada golongan muda dan ianya mengembalikan semula memori zaman dahulu.
“Program ini amat bermanfaat di mana ada beberapa perkara yang selama ini saya tidak pernah rasa namun di sini saya dapat merasainya.
“Yang paling saya teruja adalah memakai tanjak, sebelum ini saya tidak pernah memakainya dan samping pula hari ini baru saya tahu cara pemakaian yang sebetulnya. Saya amat berpuas hati dan terhibur datang ke Muzium Chimney dengan pengisian amat bermanfaat ini,” katanya.
Bagi seorang pejawat awam, Jacklin Jonabnes, 53, permainan tradisional bukan sahaja memberi hiburan, malah ia memberi manfaat terhadap kecerdasan rohani dan jasmani.
Katanya, penganjuran program ini perlu diteruskan bagi memartabatkan tradisi ini agar ia tidak dilupakan oleh masyarakat khususnya golongan muda.
“Saya harap usaha memartabatkan permainan klasik dan aktiviti masyarakat dahulu ini diteruskan agar tidak dilupakan.
“Program ini juga saya rasa dapat menarik minat pengunjung luar untuk datang ke Labuan bagi merasai permainan klasik ini,” katanya. – WILAYAHKU