MAHU mengangkat filem Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. Itulah visi menerusi projek mega yang dimeterai antara syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd.
Mempertaruhkan Filem Gadis Jolobu The Movie, karya ini berteraskan dialek Malaysia yang memberi tumpuan kepada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan.
Filem Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud serta memperkenalkan bintang baharu yang juga pengacara, Ahirine Ahirudin.

Pengasas dan Pengarah Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, berkata filem bergenre komedi yang menggunakan dialek Negeri Sembilan sepenuhnya itu sedang menjalani penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan.
“Kami teruja memulakan penggambaran filem dialek pertama, apatah lagi, gabungan pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman bersama bakat baharu yang diketengahkan.
“Kami percaya filem Gadis Jolobu The Movie adalah permulaan yang baik untuk merealisasikan visi kami bagi mengangkat kandungan Malaysia ke peringkat glokal.
“Lihat sahaja drama bersiri, Money Heist. Ia menjadi tontonan ramai walaupun bukan dalam bahasa Malaysia kerana tetap terhibur dengan kandungannya dan kualiti produksi.
“Di Malaysia, kita boleh berbangga dengan filem Hantu Kak Limah yang mengetengahkan dialek Perak hingga berjaya menarik perhatian jutaan penonton,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Saraleana, idea untuk menghasilkan filem Gadis Jolubu The Movie adalah susulan kejayaan lagu duet, Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih tontonan tinggi hampir 10 juta dalam laman YouTube.
“Idea menghasilkan filem diberikan Hattan, tiga tahun lalu selepas melihat sambutan terhadap lagu Gadis Jolobu.
“Bagaimanapun, belum sempat memulakan perancangan pos produksi, dunia diserang pandemik COVID-19. Hanya kini kerja pos produksi dapat dimulakan.
“Alhamdulillah, Zebra Studio kini mempunyai pelabur, Tremendous Entertainment. Ini adalah sokongan paling berharga kerana tidak mudah mencari pelabur, buat masa ini.
“Selalunya, pembikin filem menerima geran kerajaan dalam menghasilkan filem Melayu.
“Namun, kami bersyukur dapat bertemu pelabur yang mahu menghasilkan karya tempatan mengangkat dialek bahasa yang berkualiti untuk pasaran Malaysia dan global,” katanya.

Atas faktor itu, katanya, pasukan produksi memilih pengarah berpengalaman, CL Hor.
“Tremendous Entertainment percaya kebolehan bakat pengarah tempatan, Hor yang berpengalaman menghasilkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan untuk menghasilkan filem Gadis Jolobu The Movie.
“Walaupun CL Hor pengarah berbangsa Cina, namun, beliau juga pernah menghasilkan beberapa filem Melayu sebelum ini,” jelasnya lagi.
Saraleana ditemui pada majlis sidang media Gadis Jolobu The Movie di Kuala Lumpur Jazz and Arts Centre (KLJAC), baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Tremendous Entertainment, Datuk Jared Lim.

Dalam pada itu, CL Hor juga menyatakan dialek tempatan bukan penghalang untuk filem Gadis Jolobu The Movie ke peringkat global.
“Kami menyasarkan filem Gadis Jolobu The Movie ke pasaran luar negara. Buktinya, kami sudah mempunyai pengedar dari Indonesia dan Thailand yang mahu bekerjasama.
“Lebih menarik, penggambaran filem belum bermula, namun Golden Screen Cinemas (GSC) sudah pun menjadi pengedar utama. Ia kerana GSC melihat nilai produksi dan yakin filem ini boleh berjaya.
“Faktor utamanya kerana mengetengahkan budaya Malaysia. Gadis Jolobu The Movie ialah filem budaya yang sangat berwarna-warni dengan sinematografi etnik persekitaran kampung, ditambah pula elemen komedi yang mempamerkan sebahagian daripada Malaysia kepada mata dunia,” katanya.
Gadis Jolobu The Movie akan ditayangkan di pawagam GSC di seluruh negara dan platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY pada Jun depan.
Lebih menarik, filem itu juga akan ditayangkan menerusi wayang pacak yang diadakan sekitar Negeri Sembilan.
Gadis Jolobu The Movie memaparkan kisah tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dan berusaha mencari jodoh di kampung halaman.
Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain dalam fikiran menyebabkan mereka berusaha mencari jodoh walaupun menghadapi pelbagai dugaan.
Filem Gadis Jolobu The Movie turut mengetengahkan adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau masyarakat setempat di Negeri Sembilan. – WILAYAHKU