Berita

PM cadang empat panduan hala tuju pembangunan landskap

|
- Diterbit 5 Mac 2022 8:12 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan empat panduan hala tuju pembangunan landskap negara ini sekali gus memelihara kesejahteraan kehidupan rakyat.

Jelasnya, cadangan tersebu turut didasari dengan peningkatan nilai sosial dan ekonomi kepada Keluarga Malaysia, serta peningkatan nilai aset negara, sama ada dinilai berdasarkan nilai ketara atau nilai bukan ketara.

“Empat panduan yang dicadangkan ini adalah memperkemas sistem jaringan landskap negara yang perlu diberikan keutamaan menerusi pendekatan program pembangunan landskap yang menyeluruh.

“Kedua, mendaya upaya potensi dan nilai ekonomi industri landskap negara sebagai satu nilai ekonomi atau sebagai satu sumber pulangan dan ekonomi baharu negara,” katanya.

Beliau berkata, panduan ketiga yang dicadangkannya adalah untuk melindungi aset landskap Keluarga Malaysia.

“Satu kaedah kawalan secara perundangan diwujudkan bagi memastikan aset landskap dapat dilindungi selain pendidikan berterusan secara lebih berkesan kerana kehilangan aset landskap itu akan membawa kerugian kepada negara dan sukar untuk dikembalikan.

“Selain itu, panduan keempat adalah untuk mempertingkat kualiti perkhidmatan landskap negara bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Hari Landskap Negara 2022 di Taman Bandar Ekoflora di Johor Bahru di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah.

Menurut Ismail, bagi memastikan Keluarga Malaysia mendapat manfaat sepenuhnya, program Landskap Negara perlu diteruskan, dan kepentingan landskap dalam pembangunan negara diperkukuhkan.

“Taman–taman dan kawasan rekreasi awam telah dijadikan ruang terapi Keluarga Malaysia dalam usaha meredakan tekanan hidup yang secara langsung telah menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan mental dan fizikal.

“Kepentingan landskap sebagai komponen kesejahteraan sosial rakyat dibuktikan dengan peningkatan penggunaan taman-taman awam dan ruang landskap di seluruh Negara seperti Taman Persekutuan Bukit Kiara.

“Data menunjukkan jumlah pengunjung ke Taman Persekutuan Bukit Kiara mencatatkan peningkatan sebanyak 287.10 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya dan ini membuktikan kepentingan taman menjadi ruang rekreasi utama Keluarga Malaysia semasa pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menerima dua Anugerah Rosa-sinensis- Penarafan Taman Awam sempena Sambutan Hari Landskap Negara.

Penganugerahan penarafan lima bintang Rosa-Sinensis adalah untuk dua taman awam DBKL iaitu Taman Botani Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa. Ianya merupakan penyertaan pertama DBKL bagi tahun ini.

Anugerah telah disampaikan oleh Perdana Menteri kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi bin Che Ngah, yang mewakili DBKL.-WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas