KU SEMAN KU HUSSAIN
Wartawan Bebas
ANTARA perkara yang memagut perhatian saya ketika mula menjejak kaki ke Kuala Lumpur 38 tahun lalu ialah orang gelandangan.
Walaupun ligat berfikir tetapi saya belum boleh hadam bahawa ada orang hidup tidak berumah di Kuala Lumpur. Sepanjang hayat menumpang bermalam di kaki lima. Kalau tidak melihat sendiri sudah tentu saya menganggap itu hanya cerita rekaan sahaja.
Kewujudan gelandangan memberikan kejutan budaya kepada saya. Sukar untuk percayai bahawa Kuala Lumpur yang sinonim dengan kemajuan dan kemewahan masih ada orang hidup di kaki lima.
Apakah makna kemajuan kalau tidak dikongsikan dengan semua yang menjadi warga di kota ini? Bagaimanapun soalan ini sudah basi, tidak menjentik siapa pun untuk difikirkan lebih khusus mengenai gelandangan.
Saya tidak pasti berapa banyak yang ikut rasa tertanggung dengan masalah gelandangan di Kuala Lumpur. Barangkali terlalu sedikit kerana mereka juga terbeban dengan himpitan hidup yang tersendiri.
Banyak juga menyekutukan gelandangan dengan jenayah. Memang ada dalam kalangan gelandangan ini penagih dadah, penyeluk saku atau penjaga kereta haram yang sesetengahnya mengugut dan memeras.
Bagaimanapun tidak adil dipukul rata begitu rupa pekerti seluruhnya.
Sebenarnya 46 peratus yang menjadi gelandangan disebabkan tidak ada pekerjaan. Peratusan ini walaupun tidak boleh dipegang sebagai tanda aras miskin bandar di Kuala Lumpur, tetapi memberikan sedikit gambarannya.
Definisi ‘tidak ada kerja’ sebenarnya lebih pada kerja yang bergaji berbanding kerja seperti menjaga tempat letak kereta secara haram. Sementara itu lebih 17 peratus pula kerana miskin akibat daripada berpendapatan terlalu rendah.
Golongan ini juga memilih menjadi gelandangan, setidak-tidaknya tidak menanggung beban belanja sewa ruang kediaman.
Mereka bekerja dan pulang ke kaki lima sementara menunggu hari siang. Demikianlah rutinnya – kerja dan bermalam di kaki lima.
Faktor yang membuatkan seseorang itu tidak ada kerja adalah berbagai-bagai. Dulu ketika berlaku kemelesetan ekonomi tahun 1987, banyak juga yang diberhentikan kerja.
Walaupun bekerja dengan gaji yang kecil, tetapi kehilangan kerja dengan pantas menjadikan seseorang itu miskin.
Rasa miskin itu datang secara psikologi hingga ada juga yang menderita hingga menjejaskan kesihatan mental.
Kemudian kemelesetan ekonomi tahun 1997 juga tidak kurang hebat pukulannya. Kesan daripada pandemik COVID-19 yang membuatkan banyak majikan terpaksa memberhentikan operasi juga menjadi antara penyumbang bertambahnya gelandangan terutama di Kuala Lumpur.
Pada awalnya tidak ada siapa yang merancang menjadi gelandangan. Tetapi mereka menjadi gelandangan apabila semua jalan suduh tertutup – setidak-tidaknya pada tahap usaha mereka.
Walaupun bukan satu jenayah, tetapi gelandangan berdepan dengan pandangan buruk masyarakat.
Bukan sahaja kerana kemiskinan tetapi kecurigaan yang tercetus daripada persepsi terlibat dengan jenayah dan juga dadah.
Sudah 38 tahun saya melihat konsistensi gelandangan di Kuala Lumpur. Boleh dikatakan masalah ini tidak pernah selesai.
Tetapi saya tidak pantas menyalahkan penguasa Kuala Lumpur atau kerajaan. Saya melihat masalah ini sudah menjadi satu kitaran hidup kepada satu kelompok.
Generasi ketika saya mula-mula merantau ke Kuala Lumpur mungkin sudah tiada dan diganti dengan pelapis baharu.
Banyak kali juga saya berbual di sisi peraduan mereka di kaki lima. Sambil belanja beberapa bungkus nasi lemak dan teh tarik ikat tepi, saya mencungkil kisah yang membawa mereka ke kaki lima.
Saya sangat terkejut apabila ada dalam kalangan mereka yang bekerja. Mereka memilih menjadi gelandangan dan tidur di kaki lima kerana biaya ruang kediaman di Kuala Lumpur sangat tinggi.
Banyak juga yang mempunyai keluarga di kampung. Mereka berkorban tidur di kaki lima untuk menjimatkan belanja sewa bilik di Kuala Lumpur.
Duit sewa bilik itu lebih diperlukan untuk membeli susu anak yang jauh di kampung halaman. Kisah-kisah begini hanya ditemui apabila kita mendekati dan cuba memahami mereka.
Ketika tahun 1990-an dulu saya berkawan dengan seorang gelandangan yang lebih tua – kawan-kawannya hanya memanggil dia Muin.
Umurnya ketika itu dalam lingkungan 40-an. Muin meninggalkan keluarganya di Perak untuk menjadi pengawal keselamatan di Kuala Lumpur.
Gajinya sangat kecil dan Muin tidak ada pilihan kecuali menumpang tidur di kaki lima. Belanja sewa bilik digunakan untuk keluarga dan rumahnya hanya sebuah beg sandang yang dalamnya ada dua pasang seragam, kain pelikat dan sehelai seluar.
Setiap malam, selepas sembahyang di Masjid Jamek, dia kembali ke kaki lima deretan bangunan di Lebuh Pasar.
Tetapi banyak kali juga mimpi indahnya terpancung dan dia bercempera melarikan diri apabila diserbu oleh pihak penguat kuasa.
Kalau kerja shift malam, sebelah siang dia akan berehat di setor kecil di tempat kerja. Itulah rutin hidup Muin yang bertahun-tahun di Kuala Lumpur.
Saya telah terputus hubungan dengan Muin, tetapi generasi pelapis seperti Muin terus menggantinya di Kuala Lumpur.
Bayangkan dengan gaji minimum RM1,200 sebulan dan majikan terlalu liat untuk naikkan menjadi RM1,500, saya percaya banyak yang terpaksa menjadi gelandangan.
Inisiatif pihak berkuasa Kuala Lumpur mewujudkan rumah Anjung Kasih adalah suatu yang sangat baik.
Berkonsep rumah persinggahan, hanya untuk bermalam dan bukan untuk didiami secara berterusan.
Menjelang malam gelandangan boleh menumpang di Anjung Kasih dan keluar esoknya. Kemudian menumpang lagi sekiranya ada kekosongan.
Gelandangan adalah masalah di semua bandar-bandar besar seluruh dunia.
Walaupun begitu kita tidak boleh membiarkan ini menjadi masalah semula jadi di Kuala Lumpur.
Pendekatan Kementerian Wilayah Persekutuan membantu mendapatkan pekerjaan termasuk di luar Kuala Lumpur adalah suatu yang sangat tepat dan perlu diteruskan.
Ketika ini dianggarkan tidak kurang 2,000 gelandangan berada di lebih 20 pangkalan (port) di Kuala Lumpur.
Walaupun mereka boleh ditahan di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 dan dihantar ke rumah kebajikan, tetapi inisiatif mengubah kehidupan orang gelandangan perlu lebih jauh daripada itu.
Keberadaan gelandangan di Kuala Lumpur bukan mencacatkan pemandangan tetapi memantulkan sikap kita terutama pembuat dasar terhadap kelompok ini.
Golongan ini tidak boleh dipinggirkan dan usaha membantu mengeluarkan mereka daripada lingkaran gelandangan mesti diteruskan tanpa jemu. – WILAYAHKU