ANJUNG Floria yang dahulunya dipenuhi flora kini berwajah baharu dengan pembinaan pantai berpasir buatan untuk pengunjung. Malah lokasi yang baru dibuka Selasa lalu dijangka mendapat sambutan menggalakkan sekali gus membantu menjana ekonomi Putrajaya.
Bertempat di Presint 4, Putrajaya, Sisiran Floria merupakan salah satu tarikan terbaru pelancongan dan pusat aktiviti rekreasi yang dikelilingi alam semula jadi.
Berkeluasan 600 meter persegi dan 100 meter panjang, ia merangkumi kawasan air, kawasan berpasir dan tempat duduk bertingkat yang dapat memuatkan kira-kira 150 orang pada satu-satu masa.
Tinjauan Wilayahku mendapati pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang untuk berkayak, memancing dan bersantai bersama keluarga di tepi tasik.

Menurut seorang pengunjung, Mahadi Abdul Razak, 57, dia bersama isterinya datang seawal pukul 9 pagi dari Seremban untuk memancing di kawasan tersebut selepas mengetahui melalui laman Facebook Perbadanan Putrajaya (PPj) yang ia sudah dibuka.

“Walaupun jauh dari rumah namun saya akan datang lagi bersama keluarga. Tempat ini menarik, tenteram dan tidak panas.
“Ditambah pula berhadapan dengan tasik yang cantik macam ini, masya-Allah,” katanya yang amat teruja dengan suasana persekitaran pantai buatan itu.
Menurut pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu lagi, dia gembira dapat meluangkan masa di lokasi tersebut memandangkan ia berbeza dengan pantai buatan sedia ada di Presint 5.
Antara kemudahan lain disediakan adalah kawasan rehat dan rawat Putrajaya Cycling Route yang menjadikan Anjung Floria sebagai Pit Stop Utama dan mempunyai sebanyak lapan laluan berbasikal dengan jarak keseluruhan 180 kilometer (km) buat penggemar aktiviti berbasikal di Putrajaya.
Sebelum ini Wilayahku melaporkan pantai berpasir yang bersumberkan air tasik Putrajaya dengan Indeks Kualiti Air (IKA) kelas 2A yang membolehkan aktiviti bersentuhan dengan air. – WILAYAHKU