Berita

YWP fokus pembangunan usahawan

ZAIZALNIZAM (kiri) beramah mesra dengan peniaga di bawah program UAMK bertempat di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. ZAIZALNIZAM (kiri) beramah mesra dengan peniaga di bawah program UAMK bertempat di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
- Diterbit 28 Februari 2022 3:27 AM MYT

MEMBUKA lembaran tahun baharu 2022, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengorak langkah dengan menekankan intipati Program Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) yang diperkenalkan pada tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, pihaknya percaya program ini akan memberi perubahan yang besar dalam ekonomi isi rumah lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik COVID-19.

“Kita mengharapkan lebih banyak lagi penyertaan bagi program ini yang mana sepanjang dilaksanakan, kita lihat ia banyak membantu warga Wilayah sekali gus mewujudkan peluang berharga kepada peniaga muda.

“Di peringkat YWP sendiri, kita telah pun memberi beberapa kios untuk disewa dan insya-Allah akan sedia menambah bilangan bergantung kepada penyertaan di masa akan datang,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam masa yang sama, Zaizalnizam berkata, YWP turut mengemukakan permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan tapak bersesuaian bagi membantu usahawan-usahawan muda memulakan perniagaan.

Mengulas lanjut tentang aktiviti lain yang telah dirancang pada tahun ini, beliau berkata, YWP akan melaksanakan penyerahan bantuan Pendidikan untuk para pelajar di Wilayah serta memperbanyakkan lagi program kebajikan seperti sokongan bencana.

“Pada bulan puasa tahun ini, kita akan menyampaikan beberapa sumbangan kepada masjid dan sekolah sekitar Wilayah Persekutuan yang telah pun kita kenal pasti bagi mengimarahkan bulan yang mulia itu.

“Mengikut perancangan, kita akan bermula dengan memberi sumbangan kepada pusat-pusat tahfiz dan dalam masa yang sama akan sentiasa melihat keperluan lain yang diperlukan mereka,” ujar beliau sejurus majlis Semarak Kasih baru-baru ini.

Terdahulu, YWP menyalurkan sumbangan 70 bakul makanan untuk semua peserta dan petugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Wilayah Persekutuan Putrajaya bersempena salah satu program sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas