NAIB Juara Mentor Milenia 2017 dan Big Stage 2020, Usop atau nama sebenarnya Muhamad Saiful Naim B. Mohd Noor 24, selamat bernikah dengan gadis pilihan, Nur Fatihah Md Hashim,25 atau Teha yang berasal dari Sungai Dua,Pulau Pinang, hari ini.
Majlis akad nikah itu diadakan secara tertutup di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam di Penaga, Pulau Pinang.
Acara akad nikah disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Butterworth, Pulau Pinang, Ustaz Haji Harun Idris dan berwalikan bapa kepada pengantin perempuan, Md Hashim Nordin. Majlis nikah ini turut bersaksikan abang Teha Muhammad Firdaus Md Hashim serta bapa saudara Usop, Mohd Noor Ismail.

Dalam majlis pernikahan ini menyaksikan hantaran sembilan dulang dari pihak perempuan berbalas tujuh dulang daripada pihak lelaki, manakala mas kahwin sebanyak RM3,000 serta seutas gelang tangan sebagai acara batal air sembahyang .
Bagi Usop, dia berharap agar peminat serta mereka yang mengenalinya dapat mendoakan kebahagian rumah tangga yang baru sahaja dibina ini.
” Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta mereka yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.
“Walaupun usia saya boleh dikatakan masih muda, tapi saya harap dapat membimbing dan memegang tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.
“Saya ingin menjadi suami yg terbaik buat Fatihah. Ini adalah janji saya kepada keluarga bagi memastikan ikatan ini terus berkekalan.
“Soal zuriat saya dan isteri tidak terburu-buru sebaliknya saya serahkan kepada rezeki. Saya percaya masa yang tepat akan tiba.
“Tapi buat masa ini fokus kami berdua adalah untuk membina kehidupan sebagai suami isteri terlebih dahulu. Saya ingin melihat Fatihah bahagia bersama saya,” katanya.
Terdahulu, Usop dan Teha mengikat tali pertunangan pada 4 November 2021. Majlis resepsi pihak perempuan akan berlangsung pada malam ini dan majlis resepsi bagi pihak lelaki akan diadakan pada 13 Februari depan di Kulim Kedah.
Berkongsi kisah percintaan mereka, perkenalan Usop dan Teha sejak dua tahun yang lalu kini diteruskan kepada ikatan pertunangan sebelum bergelar sebagai pasangan suami isteri.
Sebagai info, Teha berkhidmat sebagai seorang kakitangan bahagian pentadbiran di sebuah syarikat Pulau Pinang dan membuat kerja sampingan iaitu berniaga barangan kosmetik. – WILAYAHKU
Foto: Instagram: @kakiklikphotography