BUKAN senang untuk jadi senang. ‘Panas terik, hujan badai’ dilalui bersama.
Begitulah pasangan suami isteri bahagia penyampai radio Molek FM, Fizie Roslan,34, dan isterinya Fatin Syarmimi Izzati Mohd Idris, 33.
Menurut Fatin, dia tidak pernah lupa saat-saat sukar pada awal usia perkahwinannya bersama Fizie 11 tahun lalu. Malah pengalaman tersebut membuatkan mereka lebih menghargai antara satu sama lain.
“Sejak kami bercinta, saya terima Fizie seadanya. Ketika itu dia belum siapa-siapa, belum dikenali, tapi saya terima dia dengan ikhlas hati.
“Di awal perkahwinan kami tinggal di Bachok, Kelantan. Ketika saya sedang hami anak sulung pada tahun 2011, Fizie bekerja sebagai penyampai radio di Hot FM Kelantan. Itu pengalaman kali kedua Fizie bekerja di radio selepas Manis FM dulu.
“Masa tu, Fizie ulang alik kerja Naik motosikal sahaja. Kami tak mampu beli kereta. Kami ke mana-mana pun memang naik motosikal.
“Dulu kami susah, Fizie nak beli rokok sebatang pun kena korek tabung. Mujur ada duit syiling yang kami kumpul, dapatlah juga tambah-tambah apabila beli keperluan rumah,” ujar Fatin yang setia di saat susah senang bersama bekas penyampai radio Hot FM itu.

Kehidupan rumah tangga pasangan ini menjadi lebih baik apabila Fizie ditawarkan bekerja di segment pagi AM Krew Hot FM di Sri Pentas, Damansara.
“Alhamdulillah… Fizie diterima bekerja bersama penyampai-penyampai radio hebat lain seperti Fara Fauzana.
“Tidak dinafikan, apabila Fizie makin dikenali, rezeki kami sekeluarga makin murah. Kami anggap itu rezeki anak-anak juga.
“Saya harap dan sentiasa mendoakan agar bahagia ini kekal hingga ke akhir hayat.
“Apa pun dugaan yang datang, saya tetap akan pertahankan suami dan anak-anak. Doakan kami ya!” ujarnya lagi yang turut meraikan ulang tahun Fizie yang ke- 34, baru-baru ini (2 Februari).

Fizie yang tiba di lapangan terbang Subang petang semalan setelah selesai tugasan di Kelantan, menerima kejutan istimewa daripada isteri dan anak-anak sempena ulang tahunnya.
Fizie turut diraikan isteri dalam acara makan malam romantik di Menara Kuala Lumpur.

Fizie dan Fatin berkahwin pada 16 Jun 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ratna Adra Nayla, 10 dan Mohd Raden Hafiz Adiputra,8.
Tentang kerjaya, setelah 10 tahun did Hot FM, Fizie kini berkhidmat sebagai penyampai radio Molek FM.
Semoga Fizie terus sukses’! – WILAYAHKU