SETIAP kali sesuatu perayaan disambut di Malaysia, pasti ada lagu-lagu yang dimainkan bagi meraikan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Merdeka, sambutan Maal Hijrah termasuk Hari Wilayah Persekutuan.
Namun, kebanyakan lagu Wilayah Persekutuan hanya bertemakan ‘Kuala Lumpur’ kerana karya-karya yang dihasilkan ketika Kuala Lumpur menjadi tonggak utama Wilayah Persekutuan.
Justeru itu, sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022, radio atas talian iaitu Putrajaya.FM telah menerbitkan sebuah lagu baharu berjudul ‘Dirgahayu Putrajaya’.
Lagu penuh bermakna itu menampilkan tiga orang penyanyi iaitu Aliff Razali (AF6), Nas Adila (AF7) dan Pasha Rahim serta DJ Putrajaya.FM dan ia akan dimuat naik ke dalam laman media sosial rasmi Putrajaya.FM hari ini.
Pengarah dan Penerbit Eksekutif Putrajaya.FM, Megat Iskandar Megat Zaharuddin berkata, lagu ini diharap akan menjadi satu karya yang akan diangkat setara dengan karya-karya berkaitan Wilayah Persekutuan.
“Lagu ini dicipta oleh salah seorang penyampai radio Putrajaya.FM, Megat Iskandar At-Terawis atau dikenali sebagai DJ M dan liriknya pula ditulis oleh seorang aktivis puisi dari kumpulan ‘The Sajak Sisters’, Noor Dalina Khalid yang juga merupakan karyawan tamu di Putrajaya.FM.
“Mereka juga turut merakamkan beberapa lagu medly berkaitan Kuala Lumpur dengan kombinasi lagu Keroncong Kuala Lumpur (Tan Sri P. Ramlee), Sesat di Kuala Lumpur (M. Nasir), Kuala Lumpur Menyinari Hidupku (Malek Ridzuan), Senja di Kuala Lumpur (Broery dan Kotarayaku (Altimet),” jelasnya yang turut memaklumkan proses rakaman lagu mendapat kerjasama daripada krew penerbitan Wilayahku.
Katanya, pada hari ini juga akan dilancarkan lagu tema sitkom ‘Kelas IT Kampung Ampas’ di mana Putrajaya.FM dan krew Wilayahku telah berkerjasama menerbitkan sitkom 13 episod buat sebuah stesen TV tempatan.
Uniknya, persembahan istimewa ini dinyanyikan khas oleh para pelakon sitkom tersebut sempena Sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Wilayah Persekutuan 2022. – WILAYAHKU