Berita

Sidang Khas Parlimen banjir pada 20 Januari

MENURUT Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Januari ini penting untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan tindakan dan perancangannya bagi menangani banjir. KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini.?Beliau berkata kerajaan membenarkan aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah untuk pelajar sekolah mulai 1 Sept ini mengikut Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.?-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
- Diterbit 6 Januari 2022 11:25 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan satu sidang khas parlimen bagi membahaskan isu banjir akan diadakan pada 20 Januari depan.

Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri memaklumkan Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 itu diadakan bagi mendalami kesusahan rakyat yang terkesan ekoran bencana banjir.

“Mesyuarat Khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sidang parlimen itu akan membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan Mesyuarat Khas ini telah disembah maklum dan mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Mesyuarat Khas ini penting untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan dan perancangan kerajaan menangani isu-isu banjir.

“Sesi ini juga adalah platform terbaik untuk Ahli-ahli Parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas