SEBANYAK 26 ketua isi rumah yang terjejas teruk akibat banjir di Johor menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,500 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, wang tunai RM1,000 daripadanya merupakan Bantuan Wang Ihsan (BWI) manakala RM500 lagi adalah bantuan daripada Kerajaan Negeri Johor untuk membantu mereka yang kehilangan harta benda bagi mendapatkan keperluan untuk meneruskan kehidupan.
“BWI harus disalurkan segera dan kalau boleh sebelum mangsa pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Ujar beliau, Segamat adalah daerah di Johor yang paling teruk dilanda banjir dan sebanyak 52 PPS telah dibuka di daerah tersebut yang menempatkan 1,093 keluarga serta 4,016 mangsa.
“Saya telah diberi taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memerlukan peruntukan untuk membina ban baharu bagi mengelakkan banjir pada masa hadapan.
“Keperluannya adalah segera. Peruntukan sebanyak RM5 juta telah diluluskan untuk membina ban baharu,” tambahnya.
Beliau turut meminta JPS supaya menyediakan pelan jangka panjang untuk mengelakkan banjir di daerah ini.
“Saya mendoakan seluruh Keluarga Malaysia sentiasa dilindungi Allah SWT daripada segala bencana,” katanya. – WILAYAHKU