Berita

DBKL bentang belanjawan defisit dengan peruntukan RM2.704 bilion

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah (dua kiri) bersama Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh (dua kanan) bergambar bersama buku Belanjawan 2022 DBKL.
- Diterbit 21 Disember 2021 8:07 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengumumkan Belanjawan 2022 dengan peruntukan sebanyak RM2.704 bilion yang menyaksikan peningkatan sebanyak 1.9 peratus berbanding belanjawan tahun 2021.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya menganggarkan kutipan hasil bagi tahun hadapan adalah RM2.298 bilion iaitu peningkatan kira-kira 17 peratus berbanding RM1.964 bilion pada 2021.

“Hasil utama DBKL sudah tentutanya datang dari hasil cukai taksiran berjumlah RM1.36 bilion yang menyumbang 59.2 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil keseluruhan bandar raya yang telah meningkat sebanyak RM70 juta iaitu 5.4 peratus berbanding tahun 2021.

“Hasil kawalan binaan dan perancangan juga dijangka turut meningkat kepada RM433.5 juta pada tahun 2022 berbanding RM213.7 juta pada tahun 2021 dengan peningkatan berjumlah RM219.8 juta iaitu sebanyak 102.8 peratus,” katanya dalam ucapan Belanjawan DBKL 2022 di sini hari ini.

Tambahnya, anggaran hasil DBKL telah meningkat sebanyak 17 peratus sekali gus menjadikan ia sebagai belanjawan defisit berjumlah RM239.9 juta demi kepentingan dan kesejahteraan warga kita.

Menjelas lanjut, Mahadi berkata, situasi banjir kilat di ibu negara akan diberi tumpuan dalam belanjawan ini melalui langkah-langkah untuk mengatasi banjir kilat diteruskan pada tahun 2022 dengan penyediaan peruntukan berjumlah RM97.9 juta.

“Ia untuk melaksanakan projek-projek bagi mengatasi banjir kilat dan kerja-kerja penyelenggaraan secara berterusan terhadap semua aset-aset tebatan banjir dan pengorekan kelodak di parit induk dan sungai serta kolam takungan serta menyelenggara rumah-rumah pam banjir, pemeriksaan berkala dan pembersihan bawah tanah supaya semua aset-aset sentiasa berfungsi dengan baik semasa hujan,” katanya.

Selain itu, Mahadi berkata, bertepatan dengan tema Belanjawan tahun 2022, ‘Kuala Lumpur Milik Semua’, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan meliputi untuk semua warga kota.

“Ini termasuk kemudahan laluan pejalan kaki turut disediakan untuk Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.

“Taman-taman awam yang indah dan hijau boleh digunakan oleh semua warga kota secara percuma. Perkhidmatan terapi kuda untuk anak-anak autisme turut disediakan,” katanya.

Ujarnya, DBKL juga komited dalam membangunkan semula sektor pelancongan Bandar Raya Kuala Lumpur dengan merangka beberapa program dan inisiatif yang komprehensif bagi tahun 2022.

“Di Kuala Lumpur, terdapat begitu banyak produk pelancongan yang berpotensi termasuk River of Life, Jambatan Saloma Link, Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Dataran Merdeka, Kampong Bharu, Pasar Seni, Petaling Street dan Dataran Merdeka Heritage Trail dan menerusi kerjasama strategik.

“Antara tarikan baharu adalah Kuala Lumpur Augmented City Trail (Klaci) produk pelancongan berasaskan teknologi Augemented Reality.

“Turut dirancang adalah pelaksanaan program sambutan perayaan awam, KL Drone Festival, KL River Jazz dan pelbagai lagi program yang mampu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Kuala Lumpur.

“Segala perancangan ini adalah bagi melengkapkan inisiatif Pelan Induk Pelancongan Kuala Lumpur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas