Berita

12 lokasi terjejas, 11 insiden tanah runtuh dilaporkan di KL

JALAN Rahmat antara 12 lokasi yang terjejas akibat banjir kilat.
- Diterbit 20 Disember 2021 10:18 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui siasatan tapak dan aduan yang diterima mendapati terdapat 12 lokasi di ibu negara Kuala Lumpur terjejas akibat banjir kilat, selain 11 insiden tanah runtuh dilaporkan pada Isnin.

Menurut DBKL, kawasan yang terlibat adalah Kampung Periuk dan kawasan Lorong Raja Mahadi di Kampung Baru, kawasan Jalan Melaka berhampiran Bank Muamalat, kawasan Jalan Batu Bata dan Jalan Rahmat berhampiran PWTC serta kawasan Sungai Besi berhampiran Stesen LRT Sungai Besi.

Turut terlibat adalah kawasan Kampung Delima, kawasan Jalan Raja Chulan, kawasan Kampung Pasir, kawasan Lorong Jambu Laut, Jinjang, kawasan Kampung Kolam Air berhampiran Sekolah Maxwell Jalan Ipoh, kawasan Kampung Kasipillay dan kawasan Kampung Chubadak di Sentul. 

“Pihak kami telah mengadakan perjumpaan di Bilik Gerakan Bencana dan menggerakkan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi sahabat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis DiRaja Malaysia, RELA serta jabatan dalaman DBKL untuk melancarkan lagi operasi menyelamat mangsa banjir. 

“Jumlah keseluruhan kekuatan anggota penyelamat dan bantuan setakat ini adalah seramai 640 orang,” ujar DBKL.

Seramai 500 orang penduduk yang terlibat dengan pemindahan setakat ini ditempatkan di empat lokasi. 

Antara lokasinya adalah di Dewan Sultan Sulaiman bagi pemindahan penduduk Kampung Periuk Kampung Baru, Dewan Jalan Hamzah bagi pemindahan penduduk dari kawasan Jalan Raja Mahadi Kampung Baru, SJK Tamil Saraswati Lembah Pantai bagi pemindahan penduduk Kampung Pasir dan Dewan Komuniti Sentul bagi pemindahan Kampung Kolam Air dan Kampung Kasipillay.

Di samping itu, DBKL turut mengenal pasti 11 lokasi insiden tanah runtuh iaitu di Lorong Bukit Pantai, Lingkungan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan Bukit Ledang, Bukit Damansara, Jalan Durian 3, Cheras, Bukit Pantai, Jalan 2/98, Taman Supreme, Lot 2979, Jalan Penchala Indah, No 263 Taman Damansara Indah, Bangsar Indah Condominium, Jalan Kelantan, Bukit Persekutuan, Jalan Bukit Ledang, Damansara dan Jalan Pantai Permai, Pantai Hillpark.

“Bagi menangani masalah ini, IKRAM (Institut Kerja Raya Malaysia) telah dilantik untuk membuat kajian bagi mengenal pasti tindakan penyelesaian yang sesuai untuk dilaksanakan,” tambah DBKL.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut memantau keadaan banjir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas