SEBANYAK 12 taman awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenar beroperasi semula bermula 20 Disember.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan pengunjung diingatkan untuk sentiasa mematuhi dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Hanya aktiviti riadah, berjalan dan jogging bersama keluarga sahaja yang dibenarkan, manakala aktiviti berkumpulan seperti aktiviti hari keluarga, sambutan hari jadi masih tidak dibenarkan.
“Waktu operasi akan dibuka bermula pukul 6:30 pagi sehingga 10 malam sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut DBKL, antara taman yang terlibat adalah Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri, Taman Tasik Manjalara dan Taman Tasik Metropolitan Kepong.
Turut dibuka adalah Taman Tasik Metropolitan Batu, Taman Pudu Ulu, Taman Tasik Ampang Hilir, Taman Datuk Keramat, Taman Kejiranan Air Panas, Taman Tasik Danau Kota dan Taman Bukit Jalil. – WILAYAHKU