Utama

Lahir warga kota berdaya saing

PROGRAM ceramah agama suntik elemen kerohanian. - Gambar hiasan
- Diterbit 17 Disember 2021 4:45 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) bakal menambah bilangan penerima sumbangan dari pelbagai kluster utamanya iaitu pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi pada tahun hadapan.

Ia sejajar dengan objektif penubuhannya untuk membantu menaik taraf hidup golongan yang berpendapatan rendah dan memerlukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun, pelbagai program keusahawanan bakal dirangka dan dipertingkatkan untuk membantu warga Wilayah Persekutuan khususnya mereka yang terkesan dengan COVID-19.

“Kita akan mempertingkatkan program-program terutamanya dari segi perniagaan kerana inilah masanya untuk mereka bangkit semula setelah lebih setahun kita dibelenggu wabak ini.

“Ia bukan sahaja dapat membantu pendapatan warga wilayah sendiri tetapi dalam masa sama melahirkan usahawan yang berdaya maju dan mempunyai keupayaan untuk bersaing hasil daripada manfaat program-program yang kita laksanakan,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, selain daripada program keusahawanan, YWP juga berhasrat untuk menambah pelbagai program keagamaan dan kerohanian bagi membentuk sahsiah diri yang cemerlang penduduk wilayah.

“Kita akan memperbanyakkan ceramah, kelas agama serta kelas pengajian al-Quran bukan sahaja di peringkat kanak-kanak tetapi turut diperluaskan kepada golongan dewasa kerana kita sedar elemen kerohanian amat penting

“Selain itu, kenduri rakyat juga akan dilaksanakan yang mana penganjurannya membawa banyak kebaikan termasuk memberi impak positif ke arah penyatuan dan keharmonian sesama warga wilayah,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam meralisasikan misi YWP menjana dana serta mengagihkan secara saksama bagi meningkatkan taraf hidup penduduk Wilayah Persekutuan, Zaizalnizam turut mengharapkan kerjasama dari pelbagai pihak.

“Kita perlukan kerjasama dari semua pihak antaranya pihak kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), syarikat korporat dan sebagainya supaya dapat mencapai matlamat utama iaitu membantu warga wilayah,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas