BELIAU turut mencadangkan program tersebut dilaksanakan dua bulan berturut-turut agar program tersebut mendapat perhatian pelancong untuk berkunjung ke Kuala Lumpur seperti amalan bandar raya lain di dunia.
“Sebagai contoh, untuk tempoh perayaan, kita akan laksanakan sebulan sebelum dan selepas (perayaan).
“Kita hendak jadikan sekurang-kurangnya dua bulan sebagai bulan jualan murah seperti mana yang diamalkan di bandar-bandar besar di seluruh dunia,” katanya.
Shahidan berkata, DBKL akan memperindahkan lagi bandar raya ini dengan pencahayaan menjelang Sambutan Jubli Emas Kuala Lumpur yang disambut serentak dengan perayaan Tahun Baru Cina pada 1 Februari tahun hadapan.
“Persiapan sudah buat, malah mungkin minggu hadapan kita hendak tengok sejauh mana persediaan itu telah dibuat dan dicapai.
“Kita akan buat persediaan yang rapi supaya ianya menjadi panduan kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan perayaan dalam bentuk sedemikian rupa.
“Ini akan melibatkan swasta dan kerajaan tidak akan berbelanja banyak tetapi swasta yang akan (keluarkan) belanja, tetapi dalam masa sama, kita akan perkenalkan jualan murah seperti yang berlaku di bandar raya-bandar raya besar dunia,” katanya.
Shahidan berkata, orang ramai turut berpeluang untuk menikmati pemandangan Kuala Lumpur yang dilimpahi cahaya pada waktu malam dari bangunan tinggi sekitar bandar raya ini.
“Kita akan tentukan tempat-tempat yang boleh lihat Kuala Lumpur dan juga bangunan tertentu serta mana-mana pihak swasta hendak buat tawaran menggunakan kawasan bangunan di atas sekali.
“Orang ramai boleh datang dengan jumlah kehadiran yang dihadkan. Banyak bangunan yang tinggi ini, ‘view’nya cukup cantik luar biasa dan banyak rumah mampu milik yang kita bina turut mempunyai pemandangan yang cantik.
“Jadi semua warga KL, warga Wilayah dapat bekerjasama dan melihat bahawa kehadiran orang ramai ini bukan untuk digundah-gulanakan, tetapi ia merupakan sumber ekonomi kepada peniaga kecil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau akan mengumumkan ‘sesuatu’ khusus untuk peniaga-peniaga yang mendapat lesen percuma sebelum ini.
“Insya-Allah kita akan umumkan sesuatu. Kita kena ingat, Kuala Lumpur ini terpaksa menanggung cerita tentang orang meniaga.
“Orang Kuala Lumpur yang meniaga mungkin lebih kurang 30 peratus sahaja, manakala 70 peratus lagi adalah orang yang baharu datang berniaga dan tumpang mengeluarkan pandangan-pandangan.
“Tetapi mereka boleh teruskan (beri pandangan) namun kita akan beri keutamaan warga Kuala Lumpur. Orang yang baharu datang hendak berniaga kita akan aturkan dengan sebaiknya,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah. – WILAYAHKU