Berita

AKM : Bantu warga Wilayah Persekutuan ketahui maklumat, produk yang dirancangkan KWP

PENGANJURAN AKM bantu warga Wilayah Persekutuan mengetahui lebih mendalam mengenai program pembangunan yang telah dan sedang dirancang kementerian.
- Diterbit 17 Disember 2021 3:13 AM MYT

PENGANJURAN 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) dapat membantu warga Wilayah Persekutuan mengetahui lebih mendalam mengenai program-program pembangunan yang telah dan sedang dirancang Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sejak pandemik COVID-19 sehingga kini, pelbagai program bantuan telah dilaksanakan KWP bagi membantu golongan rentan meneruskan kelangsungan hidup di Wilayah Persekutuan.

“KWP memperkenalkan 5MY@Wilayah iaitu MYFood@ Wilayah. MYFood@Wilayah yang melibatkan 52,000 pengagihan bakul makanan kepada warga B40 yang terputus atau terjejas bekalan makanan, lebih-lebih lagi pasca COVID-19.

“MYGrocer@Wilayah adalah perkhidmatan pasar bergerak bagi jualan barangan keperluan harian di kawasan perumahan kos rendah dengan lebih 33 lokasi dan empat trak bergerak di PPR/PA Kuala Lumpur dengan harga barangan lima peratus hingga 20 peratus lebih rendah berbanding pasar.

“MYSchoolBus@Wilayah program bantuan bas sekolah percuma kepada pelajar terpilih di Kuala Lumpur telah membantu 9,704 pelajar di 67 kawasan perumahan awam kos rendah, MYMedic@Wilayah dan MYJob@Wilayah sebagai usaha penyediaan peluang pekerjaan kepada warga Wilayah Persekutuan dan telah menawarkan kepada 3,259 individu menerusi inisiatif ini,” katanya ketika sesi Live Facebook di Booth KWP sempena AKM di Kuala Lumpur Convention Centre Khamis lalu.

Katanya, menerusi pendekatan yang dilaksanakan, banyak bantuan yang diberikan tidak terhad kepada golongan B40 semata-mata termasuk golongan peniaga kecil dan penjaja.

“Antaranya adalah Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga yang membenarkan 4,305 penjaja untuk berniaga tanpa sebarang bayaran, dan di mana-mana lokasi yang bersesuaian tertakluk kepada peraturan serta SOP yang berkuat kuasa.

“Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota yang melibatkan penyediaan 1,122 kios perniagaan di 169 lokasi strategik sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Program Usahawan Komuniti yang dilaksanakan bagi melahirkan lebih ramai usahawan daripada golongan B40 di PPR/PA Kuala Lumpur.

“Selain itu, baru-baru ini ShopeePay Malaysia menyumbangkan 31 buah ‘push cart’ kepada penjaja terpilih di Taman Tasik Metropolitan, Kepong. Usaha CSR sebegini wajar diperbanyakkan dan dicontohi syarikat lain dalam membantu usahawan kota, terutamanya penjaja kecil,” katanya.

Tambahnya, inisiatif perumahan turut menjadi fokus kementeriannya termasuk pengenalan Program Residensi Prihatin Keluarga Malaysia. “Pencapaian KPI AKM 100 hari program Residensi Prihatin Keluarga Malaysia melibatkan proses penyediaan pembinaan 3,224 unit rumah kos rendah yang melibatkan projek di Presint 16 (724 unit) dan di Presint 7 (2,500 unit) Putrajaya.

“Program perumahan mampu milik ini bertujuan untuk membantu golongan B40 memiliki tempat tinggal yang selesa dan berkualiti di Wilayah Persekutuan dengan harga jualan tidak melebihi RM200 ribu seunit. Sasaran jangka masa panjang adalah untuk menyediakan 10,000 unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan dalam tempoh tiga tahun mulai 2021- 2024. Sasaran tahunan yang ditetapkan pula adalah sebanyak 2,000 hingga 3,000 unit setahun,” jelasnya.

Menurutnya, sejak dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau telah mengambil inisiatif Turun Padang (TUPA) dan sebanyak 107 TUPA disertai dalam tempoh 99 hari.

“Saya mengambil peluang untuk meninjau serta mengenal pasti sendiri isu-isu dan cadangan penyelesaian yang sesuai agar warga kota mendapat manfaat.

“Antara program TUPA utama ialah lawatan meninjau pelaksanaan Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga, Inisiatif Usahawan Anak Muda Kota, meninjau permasalahan dan isu lif di PPR/PA, lawatan ke Kebun Komuniti Bandar, dan lawatan ke projek-projek pembangunan dan pembaikan kecil,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas