KARNIVAL Kerjaya yang menjadi sebahagian Program Aspirasi 100 Hari #KeluargaMalaysia dilihat memberi sinar harapan dan menjadi platform kepada siswazah dan individu yang mencari pekerjaan dalam tempoh COVID-19 yang mencabar.
Siswazah Universiti Tenaga Nasional Juliana Johari, 24 , berkata beliau yang lebih setahun tamat pengajian berharap berpeluang mendapatkan pekerjaan menerusi karnival yang melibatkan lebih 50 majikan daripada pelbagai bidang pekerjaan itu.
Juliana berkata selain mendapat pelbagai pendedahan dan maklumat, beliau yang buat pertama kali hadir secara fizikal ke karnival seumpama itu, turut berpeluang menjalani temu duga dengan sebuah firma perakaunan di karnival tersebut.
“Sukar nak cari pekerjaan terutama yang sesuai dengan kelulusan sepanjang COVID-19 , jadi apa sahaja peluang yang ada saya akan ambil,” katanya ketika ditemui di karnival tersebut di sini hari ini.
Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Anas, 20, pula berkata selain peluang pekerjaan, karnival yang masuk hari kedua itu juga turut menawarkan peluang menjalani latihan industri untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi.
Pelajar tahun akhir Universiti MAHSA itu berkata walaupun boleh mendapatkan maklumat menerusi platform dalam talian, karnival secara fizikal lebih memudahkan beliau mendapatkan maklumat secara jelas.
“Saya boleh terus isi borang, hantar resume dan dokumen lain, malah boleh bertanya secara langsung dengan pihak majikan di kiosk,” katanya yang berhasrat untuk bekerja di dalam bidang perakauan di syarikat penyediaan makanan dan minuman.
Sementara itu, pensyarah Universiti MAHSA Farha Zafira Agos Lokman, 30, berpandangan bahawa karnival tersebut dianjurkan tepat pada masanya serta mampu memberi pendedahan yang baik kepada golongan belia dan siswazah yang mencari pekerjaan.
“Golongan belia boleh bertemu sendiri dengan bakal majikan dan menilai sendiri peluang pekerjaan yang memenuhi minat dan kebolehan,” katanya yang turut membawa tujuh mahasapelajar bersamanya.
Sementara itu Pengurus Kawasan Restoran Seoul Garden Jeorje Tan, 50, pula berkata penganjuran karnival ini bertepatan dengan situasi syarikat yang memerlukan lebih ramai pekerja untuk menampung kekosongan di cawangan beberapa negeri.
“Pada ketika ini jualan kami meningkat tapi mengalami masalah kekurangan pekerja, jadi ingin menggunakan platform ini untuk mengambil seramai mungkin pekerja baharu,” katanya.
Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari bermula semalam, dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.
Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri itu, menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, serta pameran dan jualan usahawan.