Berita

Labuan laksana e-Tanah pada penghujung tahun ini

BASIT (dua dari kanan) menunjukkan infografik sistem e-Tanah yang bakal dilaksanakan di Labuan menjelang penghujung tahun ini.
- Diterbit 12 Oktober 2021 8:18 AM MYT

PEJABAT Pengarah Tanah Dan Galian (PPTGWPL) Labuan melaksanakan sistem e-Tanah bagi meningkatkan kualiti urusan pentadbiran tanah di pulau itu bermula penghujung tahun ini.

Timbalan Pengarahnya, Abdul Basit Abdul Latif berkata, pelaksanaan kaedah itu adalah bertujuan meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah di pulau itu.

“Menerusi sistem e-Tanah beberapa urusan tanah telah dinaik taraf bagi kemudahan pemilik tanah dan pemegang taruh dalam mengurus tanah milik bagi tujuan pembangunan, urusniaga serta semua urusan permohonan tanah secara dalam talian,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, terdapat sembilan modul teras dalam sistem itu iaitu Pelupusan/Pemberimilikan Tanah, Permohonan Kebenaran Urusniaga (Consent), Pendaftaran dan Pembangunan Tanah.

Selebihnya adalah Hasil, Strata, Penguatkuasaan, Pengambilan Tanah dan Lelongan Awam.

Sehubungan itu, katanya, orang awam yang mempunyai urusan yang berkaitan boleh melayari laman sesawang www.ptgwp.gov.my untuk mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Basit berkata pihaknya turut mengambil langkah untuk menyeragamkan kadar cukai tanah mengikut Kaedah- Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Labuan ( KKTWPL ).

Jelasnya, pelaksanaan itu perlu diimplementasi agar memberikan keadilan kepada pemilik tanah yang membayar cukai mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh KKTWPL.

Katanya, lebih kurang 7,610 daripada 12,618 hak milik masih membayar mengikut kadar cukai lama dan terdapat 736 hakmilik yang tidak dikenakan cukai langsung.

“Kadar cukai yang bakal dikenakan adalah mengikut KKTWPL berpandukan kajian dan perbandingan di negeri-negeri lain.

“Ianya lebih rendah dan bersesuaian dengan nilai tanah dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini,” jelasnya. –WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas