Berita

Pemimpin junjung kasih titah pandangan Agong mengenai sidang Parlimen

- Diterbit 17 Jun 2021 2:30 PM MYT

KALANGAN pemimpin hari ini menjunjung kasih pandangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar persidangan Parlimen diadakan pada kadar segera.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan sememangnya berhasrat mengadakan persidangan Parlimen pada masa yang sesuai supaya proses demokrasi akan terus disuburkan.

“Dalam konteks Sidang Parlimen, Perdana Menteri sendiri selaku Ketua Majlis Keselamatan Negara (MKN) beberapa hari lepas telah menyatakan bahawa (persidangan) Parlimen akan diadakan.

“Beliau tidak pernah mengatakan Parlimen tidak akan bersidang. Bagaimanapun, selaku ketua MKN, beliau bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan, ‘standing order’ dalam Parlimen serta mengikut masa sesuai (untuk bersidang),” katanya dalam sidang media selepas melawat Kluster Vaksinasi Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

Sementara itu, beberapa pemimpin kerajaan negeri tampil menyatakan kesediaan untuk memulakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan berkata satu perbincangan telah diadakan bersama Speaker Dewan Negeri Selangor bagi memulakan perancangan pelaksanaan titah baginda dengan kadar segera.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad pula memaklumkan kerajaan negeri itu bersedia mengadakan persidangan DUN dengan segera seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

“Proklamasi Darurat akan tamat pada bulan Ogos. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Johor akan mengenal pasti tarikh yang sesuai supaya persidangan DUN Johor dapat dijalankan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula menyatakan kerajaan negeri akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong melalui Yang Dipertua Pulau Pinang untuk DUN kembali bersidang.

Katanya Kerajaan Negeri dan DUN juga akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan MKN untuk mengawal jangkitan COVID-19 semasa persidangan diadakan.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata titah berkenaan membuktikan Seri Paduka sebagai Ketua Negara telah meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap yang tinggi, sekali gus mengutamakan prinsip keluhuran perlembagaan.

Susulan itu beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah meminta agar semua ahli parlimen tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang mengambil ruang dan peluang ini untuk kembali bersidang.

“Bahaskanlah secara serius serta objektif untuk mencari  jalan keluar dari segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam dihadiri oleh Sultan Terengganu, Sultan Selangor, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah, Pemangku Raja Pahang dan Raja Muda Perlis yang mewakili Raja Perlis.  – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas