KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi mengenal pasti Universiti Awam (UA) dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang berpotensi untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata cadangan untuk menjadikan sebahagian daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sebagai PPV adalah bagi membantu kerajaan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Model PPV IPT ini mengguna pakai model PPV di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan melibatkan UA, HPU, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebagai tonggak kepada setiap PPV IPT,” katanya semasa Sidang Khas COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) pada 31 Mei 2021.
Bagaimanapun, pasukan khas yang diketuai oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar serta dibantu Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Nazirah Hasnah telah mengenal pasti 19 buah PPV IPT yang berkemampuan untuk memberi 14,400 vaksin sehari atau 432,000 vaksin sebulan.
Sementara dengan itu, Noraini berkata KPT komited untuk menggerakkan semua tenaga kerja kesihatan UA yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Pensyarah Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat untuk terlibat dalam PPV IPT dalam usaha memastikan sasaran 150,000 dos vaksin sehari akan dapat dicapai menjelang akhir Jun 2021. -WILAYAHKU- SABRINA SABRE