PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menyambut ulang tahun ke-40 hari ini, akan terus memacu dan merancakkan pembangunan industri kreatif serta perfileman negara dalam mendepani impak pandemik COVID-19.
Pengerusi FINAS Zakaria Abdul Hamid berkata bergerak ke hadapan, FINAS akan menumpukan kepada agenda meningkatkan kualiti hasil pembikinan filem dan drama sesuai dengan perkembangan terkini agar produk perfileman negara setanding kualiti dunia.
“Untuk mencapai agenda ini, beberapa program disusun antaranya program modal insan yang mana program latihan dan bengkel akan dipertingkatkan bagi melatih kepakaran dalam bidang berkaitan filem dan mencungkil bakat baharu.
“Syarikat produksi akan ditransformasi untuk lebih berdaya maju dan boleh bersaing dalam mengeluarkan produk bertaraf dunia dan dapat diterima penonton dengan membuat kutipan lumayan di pawagam sekali gus akan menjadi rakan strategik FINAS untuk ‘Road To Oscar’,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata dengan transformasi seumpama itu, dalam jangka panjang syarikat produksi tidak perlu lagi bergantung kepada bantuan kerajaan kerana sudah mendapatkan keuntungan besar melalui filem berkualiti dengan kutipan pecah panggung.
Zakaria berkata banyak pencapaian FINAS sejak penubuhannya dalam pembangunan industri perfileman negara, namun cabaran getir adalah di era pandemik COVID-19 iaitu bagi memastikan survival penggiat seni yang kebanyakannya bergantung kepada pendapatan harian dan mingguan.
“Perintah Kawalan Pergerakan telah menyebabkan ramai penggiat seni hilang punca pendapatan. Bagaimanapun langkah dilakukan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah mengubah masalah kepada faedah.
“Sejak tahun lepas, FINAS mencipta rekod dengan mengeluarkan lebih 300 tawaran pembikinan filem, drama serta dokumentari, dan melalui usaha ini melalui peruntukan diluluskan KKMM, setiap produksi dapat memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada sekurang-kurangnya 50 tenaga kerja,” katanya dengan menambah keseluruhannya sebanyak 15,000 peluang pekerjaan dapat disediakan untuk penggiat seni.
Beliau berkata sejak setahun lalu juga, buat julung kali FINAS melaksanakan jelajah Ziarah FINAS Prihatin dengan menyantuni lebih 100 seniman dan seniwati negara, yang membuka lembaran baharu kepada warga seni veteran agar rasa dihargai kerajaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata harapan agensi itu adalah untuk memastikan kelangsungan dan kestabilan selain ekonomi industri perfileman tempatan dapat dipertahan dan diperkukuhkan pada masa akan datang.
Namun, beliau berkata jika dilihat pada hari ini, industri perfileman tempatan semakin berkembang dan kukuh berbanding 40 tahun lepas.
“Maknanya 40 tahun itu menunjukkan betapa kukuhnya industri perfileman tempatan sehinggakan hari ini kalau kita tengok dari segi perkembangan ekonomi misalnya, filem tempatan boleh mencecah RM40 juta kutipan sedangkan pada ketika dahulu kalau filem tempatan seolah-olah tiada orang pandang dan tidak pergi ke pawagam untuk menonton.
“Selain itu banyak kejayaan dicapai negara termasuklah ramai bakat Malaysia bukan sahaja berjaya dalam industri tempatan, tetapi juga ‘laku’ di pasaran antarabangsa,” katanya.
Ahmad Idham menambah FINAS dan penggiat seni secara amnya amat bertuah kerana kerajaan khususnya KKMM amat prihatin serta sering memberi sokongan dan memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam membantu kelangsungan industri kreatif.
FINAS ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jun 1981 sebagai badan peneraju kemajuan industri perfileman negara dengan matlamat kerajaan untuk membangun, memelihara dan mengembangkan industri tersebut. – BERNAMA