Berita

Banjir: Dua helikoptar digunakan hantar bantuan makanan di Sabah

KETUA Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor mengarahkan dua buah helikoptar digunakan bagi menghantar sebanyak 2,000 bantuan bakul makanan kepada lebih 1,400 mangsa banjir di Tenom, Beaufort dan Sipitang. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 21 Mei 2021 7:38 AM MYT

KETUA Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor hari ini mengarahkan dua buah helikoptar digunakan bagi menghantar sebanyak 2,000 bantuan bakul makanan kepada lebih 1,400 mangsa banjir di Tenom, Beaufort dan Sipitang.

Menteri Kewangan negeri itu berkata kerajaan melalui Jawatankuasa Bencana negeri Sabah meluluskan bantuan berkenaan untuk setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Tenom dan Beaufort.

“Bantuan makanan juga akan diagihkan kepada mereka yang terputus perhubungan darat di beberapa kawasan di Tenom.

“Manakala bagi Sipitang dan Keningau bantuan makanan akan diurus oleh Jawatankuasa Bencana Daerah masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan mendapatkan bantuan pengangkutan udara pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, semua kawasan dan daerah berisiko banjir termasuk yang memerlukan bantuan sentiasa dipantau kerajaan menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri dan di peringkat daerah masing-masing.

Setakat jam 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir dipindahkan di Sabah meningkat mendadak kepada 1,447 mangsa berbanding 332 mangsa pada 4 petang semalam. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas