TEKA-teki hubungan kakak Neelofa, Noor Nabila, 36, dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin, 46, akhirnya terjawab apabila mereka kini sah menjadi suami isteri kira kira jam 10.02 pagi tadi di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Dengan sekali lafaz, pasangan ini dinikahkan berwalikan adik Nabila sendiri iaitu Mohamed Aqief Mohd Noor sebagai wakil.
Noor Nabila menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan tiada dulang hantaran yang diberi dan dibalas. Jumlah wang hantaran juga tidak dimaklumkan.
Nabila mengaku berasa lega apabila semua spekulasi tentang hubungan mereka akhirnya terlerai.
“Alhamdulillah semuanya berjalan serba ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Memang kami tak bertunang seperti yang disangka. Saya mula mengenalinya sekitar Ogos tahun lalu. Waktu itu kami hanya berkawan.
“Hanya sekitar hujung tahun lalu, kami mula rapat. Malah sama sama berkongsi minat sama termasuk dalam sukan berbasikal,” katanya yang mengehadkan kehadiran tetamu untuk majlis nikah mereka yang hanya dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat.
Dalam masa yang sama, Nabila juga berharap orang ramai mendoakan kebahagiaan mereka.
“Kami pernah melalui pengalaman berumah tangga sebelum ini. Jadi masing masing sudah matang dan dah tahu apa yang diinginkan dalam pasangan hidup.
“InsyaAllah kami akan buat yang terbaik dan sentiasa ada untuk satu sama lain,” katanya
Terdahulu pasangan berkenaan sebelum ini mencetuskan tanda tanya apabila gosip mengaitkan mereka kononnya menjalinkan hubungan cinta.

Nabila bercerai dengan pelakon Sharnaaz Ahmad, Julai tahun lalu selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga. Mereka dikurniakan anak lelaki diberi nama Jebat Jayden.
Engku Emran juga berpisah dengan Laudya Cynthia Bella, Julai tahun lalu, selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Terdahulu, Engku Emran berkahwin dengan aktres, Erra Fazira dan dikurniakan cahaya mata, Engku Aleesya. – WILAYAHKU