Berita

Jangan khianati orang lain untuk hidup mewah – Iman Suhana

- Diterbit 18 Februari 2021 6:11 AM MYT

SEJAK akhir-akhir ini, isu gadis atau ‘sugar baby’ menjadi perbualan dalam kalangan masyarakat dan warganet.

Trend lelaki berstatus suami memiliki wanita simpanan atau ‘sugar baby’ mula hangat diperkatakan apabila laman sesawang temu janji terbesar di dunia, SeekingArrangement mendedahkan perkara ini.

Ia kedengaran kurang manis apabila ‘sugar baby’ melibatkan gadis muda misalnya pelajar institusi pengajian tinggi disifatkan mendekati ‘sugar daddy’ atau suami orang untuk mengecapi kemewahan hidup.

Pelakon drama bersiri Takdir Yang Tertulis, Iman Suhana berpendapat usaha gigih mencari rezeki adalah lebih baik untuk keluar dari kepompong kemiskinan hidup.

“Berusahalah lebih keras untuk berjaya atau mencapai impian dalam kehidupan masing-masing. Saya tahu, ramai yang melalui kesukaran hidup sekarang namun masih banyak cara lain untuk mengatasi kesusahan tersebut.

“Jangan jadi seperti Che Salmah (merujuk watak Didie Alias dalam Takdir Yang Tertulis) yang sanggup mengkhianati orang lain  kerana mahu hidup mewah.

“Kebahagiaan yang dicari bukanlah semata-mata dengan kekayaan. Ketenangan tanpa mengkhianati sesiapa itu lebih penting,” jelas Iman Suhana atau nama sebenarnya Norsuhana Mohamad Wahid,31.

Betul kata Iman Suhana, anak-anak muda yang terlibat sebagai ‘sugar baby’ tidak sepatutnya menggunakan jalan singkat untuk mengecapi kemewahan hidup.

Tentang kerjaya, Iman mengaku tidak mudah membawa watak sebagai Ruzita dalam Takdir Yang Tertulis.

“Watak Ruzita ni banyak sangat muslihat atau permainannya. Karakternya berubah-ubah. 

“Sekejap kelam kabut, blur dan jadi penggoda. Kemudian dia boleh jadi penyiasat, anak derhaka, mulut longkang dan ustazah.

“Paling mencabar adalah karakter kelakar yang bersahaja. Risau jugak kalau kelakar itu dibuat-buat atau tidak menjadi. 

“Alhamdulillah, ramai yang suka dengan lakonan saya. Walaupun agak sukar sebenarnya saya nak hayati watak ini, tapi saya berbaloi dan lega,” ujarnya yang sudah banyak berlakon drama antaranya Monalisa, Aku Yang Merinduimu, Lara syakila, Love Elsa dan sebagainya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas