Berita

RTB Sungai Bunus berfungsi 85 peratus – JPS

- Diterbit 8 Februari 2021 8:45 AM MYT

TAHAP kefungsian Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bunus kini adalah 85 peratus dan akan berfungsi sepenuhnya apabila Pakej Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah Pulapol siap kelak, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ketua Pengarah JPS Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali berkata enam daripada tujuh Pakej RTB Sungai Bunus telah pun siap sehingga kini.

Menurutnya, projek RTB Sungai Bunus terdiri daripada tujuh pakej utama iaitu Kolam Takungan Banjir Setapak Jaya yang siap Oktober 2015, Kolam Takungan Banjir Kg Boyan (Mac 2017), Kolam Takungan Banjir Titiwangsa (Januari 2018), Kolam Takungan Banjir Sri Rampai (Mac 2018), Kolam Takungan Banjir Air Panas (April 2018), Lencongan Banjir Sg Bunus (Disember 2020) dan Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah Pulapol yang 66 peratus.

Katanya sebanyak 38 kejadian curahan hujan lebat iaitu purata taburan hujan melebihi 60mm/jam direkodkan di Stesen Air Panas dalam tempoh 2015 sehingga 2020, namun tiada sebarang kejadian banjir dilaporkan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

“Sepanjang 2020, JPS telah membelanjakan sebanyak RM8.1 juta bagi penyelenggaraan semua pakej RTB Sungai Bunus yang telah siap termasuk RM35,000 bagi kerja-kerja pembersihan di tapak Projek Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah Pulapol,” katanya dalam  kenyataan  hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan untuk menjelaskan laporan khas Astro Awani pada 6 Feb lalu berhubung projek RTB Sungai Bunus yang dilaporkan gagal berfungsi dan tidak diselenggara dengan baik, serta rakaman merujuk kepada tapak projek Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah Pulapol yang masih belum siap sepenuhnya dan bukannya keseluruhan projek RTB Sungai Bunus.

Nor Hisham berkata Projek Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah Pulapol masih sedang dalam pembinaan dan keadaan seperti tidak diselenggara adalah kerana kontraktor asal telah ditamatkan kerja atas sebab ketidakpatuhan kepada syarat kontrak.

“Proses lantikan kontraktor baharu untuk menyiapkan projek yang masih berbaki 34 peratus akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun 2021. Projek ini dijangka akan siap pada Jun 2022,” katanya.

Keseluruhan Projek RTB Sungai Bunus direka bentuk untuk menampung sehingga 750,000 m3 air banjir bagi mengurangkan impak kejadian banjir di sekitar kawasan Jalan Tun Razak di hadapan Institut Jantung Negara; Perpustakaan Negara; Jalan Gurney; Jalan Sultan Yahya Petra dan Kampung Baru.

Projek itu  juga berfungsi bagi mengawal sebahagian air banjir daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas