Berita

Perhilitan Perak selamatkan rusa jantan cedera dilanggar kenderaan

- Diterbit 20 Januari 2021 4:22 AM MYT

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menyelamatkan seekor rusa jantan yang cedera akibat dilanggar kenderaan di Jalan Sungkai-Slim River, di Tanjung Malim malam tadi.

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata rusa berusia anggaran 12 hingga 13 tahun seberat 120 kilogram itu ditemui kakitangan Perhilitan Perak yang sedang dalam perjalanan untuk mengadakan operasi tembak babi hutan kira-kira 9.20 malam.

“Pemeriksaan mendapati rusa berkenaan mengalami patah kaki kanan di bahagian hadapan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata haiwan berkenaan telah dimasukkan ke dalam kotak pindah dan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya pihak Perhilitan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang melalui kawasan berkenaan ketika kejadian yang turut memberi bantuan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas