Berita

Nikah 6 Februari… Harris Alif, Intan Ladyana peraga barang kemas RM13.5 juta

- Diterbit 5 Januari 2021 8:30 AM MYT

TEKA-teki dalam kalangan peminat akhirnya terjawab apabila pengacara dan penyanyi Harris Alif,21, akan menikahi kekasihnya, Intan Ladyana, 38, pada 6 Februari ini.

Bakal disatukan di sebuah masjid di ibu kota, Kuala Lumpur, Harris dan Intan akan memperagakan barang kemas bernilai RM 13.5 juta dari Ceres Jewel. 

Menurut Harris, dia telah masuk merisik pada bulan Julai tahun lalu, iaitu sebulan selepas ulang tahun kelahiran Intan.

“Setelah berbincang dengan keluarga, kami telah sepakat untuk memilih 6 Februari ini sebagai tarikh perkahwinan kami.

“Setakat ini persiapan sudah menjangkau 90-95 peratus. Biarpun majlis ini diadakan ketika Covid-19, majlis akan diadakan mengikut SOP yang telah ditetapkan,” ujar Harris.

Sementara itu, Intan pula berkata kini dia sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri.

“Saya bersyukur kerana hubungan kami telah mendapat respon positif dan restu daripada kedua-dua belah pihak.

“Lagipun sejak awal perkenalan kami lagi semuanya telah berjalan lancar,” ujarnya.

Teristimewa sebelum hari bahagia mereka, Harris juga sebelum ini telah melancarkan lagu baharunya berjudul Anugerah yang semestinya didedikasikan buat jantung hatinya itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas