ASPEK kebajikan dan keperluan warga penduduk kekal menjadi keutamaan dalam melaksanakan peranan digalas sebagai penghubung bagi rakyat dengan kerajaan memerintah.
Perkara tersebut merupakan antara asas penting kewujudan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) sebagai pemudah cara di samping menjadi mata dan telinga bagi kerajaan untuk menyantuni rakyat di akar umbi.
Pengerusi MPPWP Sub Zon 5, Bandar Tun Razak, Farouk Mohd Noor berkata, berpaksikan amanah dan peranan digalas, aspek berkait soal kebajikan serta keperluan warga penduduk bawah kawasan seliannya, tidak boleh diabaikan sama sekali.

Malah katanya, setiap permasalahan yang timbul mahupun aduan diterima oleh MPPWP Sub Zon 5 akan segera mencari jalan penyelesaian dengan kemampuan yang ada, namun jika sebaliknya, ia akan disalur kepada pihak yang lebih berautoriti.
“Keperluan dan kebajikan penduduk mesti diletak sebagai keutamaan supaya keberkesanan fungsi MPPWP akan memanfaatkan rakyat tanpa perlu mengira latar sosial mahupun perbezaan bangsa.
“Atas faktor tersebut juga, menyaksikan lebih 40 program dan aktiviti telah dilaksana MPPWP Sub Zon 5, Bandar Tun Razak setakat ini, merangkumi pelbagai segmen termasuk bantuan bagi mereka yang memerlukan, seminar pendidikan mahupun sumbangan alatan khusus,” katanya yang ditemui selepas Program Prihatin Warga di sini, hari ini.
Dalam tiga aturcara program berbeza diadakan di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak, turut dihadiri Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar yang juga merupakan Ahli Parlimen berkenaan.
Program Prihatin Warga itu dimulai sesi serahan kunci rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada seorang warga emas, Roshidah Abd. Aziz, 56, yang juga orang kelainan upaya (OKU).

Bantuan tersebut, jelas Farouk atas kapasiti oleh Cawangan dan Bahagian Perumahan DBKL selain MPPWP Sub Zon 5 serta Pejabat Ahli Parlimen dengan matlamatnya adalah bersama membantu meringankan beban ditanggung warga.
“Makcik Roshidah perlu uruskan anaknya berusia 17 tahun yang menghidap kemurungan manakala seorang lagi anak lelakinya bekerja swasta. Jadi dengan kemudahan sewa murah PPR ini, mampu ringankan belanja bulanan keluarga ini,” ujarnya.
Selanjutnya, aturcara program diteruskan dengan sesi serahan Gerai Wilayah Prihatin kepada salah seorang penjaja di Pekan Sungai Besi, Norhidayu Hamdan yang mengusahakan jualan Nasi Ayam Berempah.
Inisiatif bantuan dijayakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu, adalah sebahagian pendekatan diambil bagi membantu peniaga kecil dan penjaja yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19.
Menurut Farouk, program terakhir yang dijayakan ialah bantuan kerusi roda kepada Azizi Abd Aziz, penghidap kanser usus dan terpaksa bergerak menggunakan peralatan tersebut.
“Nasib kehidupan mereka sekeluarga memang perlu dibantu kerana bukan sahaja beliau hidap kanser usus, malah isterinya juga diserang stroke dan kini terlantar sepenuhnya.
“Atas dasar prihatin dengan keperluan mereka yang kekurangan, mendorong kami MPPWP Sub Zon 5 dengan pelbagai pihak tampil membantu. Mungkin kami tidak sepenuhnya dapat membantu, namun dengan hadirnya Yang Berhormat Timbalan Menteri yang secara peribadi menyumbang kerusi roda ini, mungkin ada saluran lain boleh diguna untuk membela nasib warga ini,” katanya. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU