MASYARAKAT diseru untuk menghayati isi kandungan buku Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti yang diterbitkan Jabatan Penerangan Malaysia.
Menurut Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan Supian Musa, kita perlu menghayati keseluruhan isi kandungan buku itu bagi memenangi peperangan melawan COVID-19.
” Kita perlu menghayati isi yang terkandung dalam buku Pembudayaan Norma Baharu bagi mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Salah satunya adalah konsep Cegah dan didik, Amal,Patuh dan Pantau (CAPP) bagi mengekang penularan COVID-19,”katanya semasa berucap pada Program Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Peringkat Subzon 1 anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Labuan, di Balai Raya Kampung Pantai baru-baru ini.
Tambahnya, semua pihak perlu memainkan peranan untuk menjayakan Kempen Pembudayaan Norma Baharu.
“Kita semua perlu melawan COVID-19 dan itu semua bergantung kepada diri kita sendiri, masih ramai yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dan keluar rumah tanpa keperluan yang penting.
“Peningkatan kes jangkitan yang berlaku baru-baru ini juga berpunca daripada kelekaan kita mematuhi SOP terutamanya selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),”katanya.
Tambahnya, Jabatan Penerangan akan terus membantu MPPWP dalam menyebarluaskan kefahaman mengenai amalan norma baharu dalam kalangan komuniti di Labuan.
“Kita akan mengedarkan buku Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti dan bahan-bahan penerbitan berkaitan melalui MPP agar masyarakat lebih memahami konsep dan matlamat kempen itu dilaksanakan,”jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi MPPWP Zon Labuan, Dzulfaizal Ab Manan turut menyatakan komitmen untuk terus berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan Budaya Norma Baharu.
“Kita akan teruskan kerjasama dengan Jabatan Penerangan dalam usaha memberi kefahaman mengenai Pembudayaan Norma Baharu kepada masyarakat dan kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk menyebarluaskan video-video kepada komuniti mengenai kepentingan amalan norma baharu,”katanya.
Beliau turut menyeru para pemimpin di peringkat komuniti agar sentiasa mengingatkan warga kampung untuk mengamalkan pendekatan 3W dengan mengelakkan 3S atau 3C sebagai kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian.
“Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).
“Elakkan 3S dan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation),”katanya lagi. – KHAIRUL IDIN – WILAYAHKU