Berita

Annuar sahut cabaran Khalid… ulang kenyataan di luar dewan

- Diterbit 14 Disember 2020 9:26 AM MYT

TIDAK sampai sejam dicabar oleh Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad untuk mengulangi kenyataan berkenaan transaksi penjualan tanah di luar dewan, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa tampil menjelaskan mengenai perkara itu melalui sidang media di parlimen hari ini.

Menurut Annuar, proses transaksi berkaitan tanah bernombor hak milik HSD120430 PT15358 Mukim Petaling di mana pemiliknya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada syarikat Kunci Muhibah Sdn Bhd telah selesai sepenuhnya ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Syarikat itu telah membuat permohonan untuk mendaftarkan hak milik tanah itu di atas namanya pada tarikh 7 Mei 2018.

“Namun permohonan tersebut telah ditolak oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan dalam mesyuarat bilangan 725/2018 yang bersidang pada 21 November 2018,” katanya dalam Sidang Media yang ditemani oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Santhara dan KSU Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Rosida Jaafar.

Annuar memberitahu, pada 20 Disember 2019, Pejabat PTGWP telah menerima rayuan pindah milik yang dipohon sekali lagi daripada DBKL untuk memindah milik tanah tersebut ke atas syarikat sama.

“Pejabat PTGWP telah menerima satu surat pengesahan daripada DBKL melalui nombor rujukan (63) dlm.DBKL/JPEP/BPU/03-187/516/2017 Jld.2 yang bertarikh 6 Febuari 2020, mendapati bahawa urusan penjualan dan pindah milik oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur kepada syarikat itu boleh diteruskan mengikut perkara-perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan projek-projek penswastaan DBKL yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 4 Febuari 2020,” katanya.

“Dinyatakan bahawa permohonan rayuan kali ini adalah lengkap dan ia mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut Annuar, dengan surat kelulusan tersebut berasaskan kepada mesyuarat yang telah berlangsung pada 4 Febuari yang lalu, maka Jawatankuasa Kerja Tanah hanya melaksanakan proses biasa dan mendaftarkan hak milik tanah

“Proses tersebut memakan masa antara tiga hingga empat bulan dan keseluruahn proses selesai sepenuhnya pada 23 Jun 2020 di mana title telah dikeluarkan dengan hakmilik didaftarkan atas nama Kunci Muhibah Sdn Bhd.”

Ujarnya, semua urusniaga berkaitan dengan tanah tersebut sememangnya tidak datang kepadanya dan tidak melibatkan pentadbiran kerajaan PN kerana ia diluluskan pada Febuari dan pendaftaran hak milik dan proses title tanah dikeluarkan pada bulan Jun 2020

Sebelum itu, Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok memberitahu Dewan Rakyat, tanah itu kemudiannya dijual kepada sebuah syarikat dikenali sebagai Kunchi Muhibbah, yang didakwa di bawah Aset Kayamas.

“Penjualan tanah itu dihentikan PH (Pakatan Harapan), tetapi diteruskan di bawah PN (Perikatan Nasional),” katanya sambil mempersoalkan jika penjualan itu diluluskan Kabinet.

Beliau juga ingin tahu kenapa tanah itu dijual separuh harga daripada nilai sebenar RM161 sekaki persegi.

Annuar berkata, tiada penjualan tanah sejak beliau mengambil alih portfolio itu Mac lalu dan siasatan awal mendapati jualan itu dilakukan ketika PH berkuasa.

Kok bertegas perjanjian jual beli ditandatangani Jun 2020 dan Annuar berkata, beliau akan meneliti perkara itu kerana beliau tidak bersetuju dengan sebarang penjualan tanah.

Ia disusuli bekas menteri Wilayah Persekutuan era PH Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam meminta Annuar mengulangi dakwaannya di luar Dewan Rakyat. -OLEH AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas