Berita

Belanjawan KWP diluluskan dengan undian 110 setuju, 7 tak setuju

- Diterbit 14 Disember 2020 6:33 AM MYT

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan peruntukan untuk Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di peringkat jawatankuasa.

Terdahulu, Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon mahu undi suara dibuat memandangkan suara ahli Parlimen Perikatan Nasional lebih kuat.

Bagaimanapun, ahli Parlimen pembangkang menggesa undi belah bahagi diadakan, dengan lebih 15 ahli Parlimen berdiri untuk memberikan sokongan.

Beliau kemudiannya memberi masa 10 minit untuk ahli Parlimen mengundi bagi RUU itu dan memaklumkan tiga ahli parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) hadir ke persidangan Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk sesi pengundian.

Tiga Ahli Parlimen tersebut ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan; dan P. Prabakaran (PH-Batu).

Pembangkang kemudiannya mempertikaikan keputusan tersebut dan bertindak keluar dari dewan dengan alasan khuatir dengan keselamatan mereka.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudian mengumumkan keputusan pengundian selepas majoriti ahli Parlimen memberi sokongan menerusi undi belah bahagi.

“Yang bersetuju 110, tidak bersetuju tujuh, tidak mengundi 31, tidak hadir 72, maka dengan itu, kepala bekalan B32 jadi sebahagian daripada jadual,” kata Azhar selepas undian belah bahagi dilakukan.

Dua lagi kerusi Parlimen disandang Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Gerik) yang meninggal dunia, masih kosong. – OLEH AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas