Berita

Pasar buku Kuala Lumpur

Prof Emeritus Bukhari Lubis antara pengunjung tetap Pasar Buku Bangi. Prof Emeritus Bukhari Lubis antara pengunjung tetap Pasar Buku Bangi.
- Diterbit 12 Oktober 2020 12:30 PM MYT

PELUANG hadir ke pelancaran Pasar Buku Ganu di Kuala Terengganu yang dihoskan oleh TDM Berhad, sebuah anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini sudah tentu mengujakan bagi peminat buku.

Pasar Buku Ganu merupakan antara siri penganjuran Pasar Buku yang terbaharu diadakan di seluruh negara.

Sebelum itu, ia telahpun bermula dengan Pasar Buku Bangi, Pasar Buku Kota Bharu, Pasar Buku Shah Alam, Pasar Buku Rumah PENA, Pasar Buku Kedah, dan Pasar Buku Ipoh sejak beberapa tahun lepas.

Pasar Buku Shah Alam sudahpun menamatkan riwayatnya setelah penganjuran beberapa edisi manakala Pasar Buku Rumah PENA yang sempat bertahan setahun penganjuran, juga menemui nasib sama.

Pasar Buku Ipoh pula bersifat ‘one-off’, – sekali penganjuran, telah diadakan pada tahun lepas.

Yang masih bertahan dan aktif penganjurannya ialah Pasar Buku Bangi, Pasar Buku Kota Bharu dan Pasar Buku Kedah.

Relatifnya konsep pasar buku ini dihoskan secara sukarela dan bebas dengan lebih memberi tumpuan kepada buku-buku lama dan terpakai.

Ia menghimpunkan sejumlah penjual dan peminat (kolektor) buku-buku terpakai dan bersifat ‘out off print’.

Ia dianjurkan pada hujung minggu, kebiasaannya hari sabtu. Misalnya Pasar Buku Bangi (PABUBA) dianjurkan setiap Sabtu kedua dan keempat setiap bulan, Pasar Buku Kota Bharu (PBKB) dan Pasar Buku Kedah (PABUKE) pula setiap Sabtu hujung bulan, manakala Pasar Buku Ganu khabarnya akan dianjurkan setiap Sabtu pertama setiap bulan.

Penyertaannya bersifat terbuka, sama ada sebagai penjual atau pembeli. Ia menjadi medan pertemuan para peminat buku khususnya buku-buku lama dan terpakai untuk bertemu dan berkongsi pengalaman tentang buku dan seterusnya memiliki koleksi buku-buku di pasar berkenaan.

Pasar Buku Ganu baru ni melibatkan 12 orang penjual dari beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Selangor dan Terengganu sendiri turut hadir. Mereka membawa sejumlah koleksi buku untuk dipamer dan dijual.

PENULIS Salman Sulaiman sedang memilih buku di Pasar Buku Kota Bharu.

Konsep ‘Pasar Buku’ barangkali mengambil mood dari jiran sebelah kita, Indonesia. Tempat-tempat seperti di Palasari, Jogja, mahupun Taman Ismail Marzuki (TIM) di Jakarta sendiri merupakan antara tempat mewah bagi pemburu buku terpakai.

Di sana, selain buku terpakai, buku-buku bajakan juga mendapat tempat oleh faktor geografi penduduknya yang ramai.

Di tempat kita mungkin belum sampai ke situ. Tetapi masa depan buku terpakai ternyata relevan di semua tempat dan negara.

Kebanyakan kolektor dan peminat buku memburu buku-buku yang sudah tiada di pasaran semasa.

Mereka akan melihat dan memberi nilai tentang penulis buku berkenaan, tahun cetakannya, penerbit, kulit depan serta kondisi buku. Semua ini akan meletakkan nilai buku itu dengan sendirinya.

Misalnya novel-novel awal Sasterawan Negara Shahnon Ahmad seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Terdedah, Protes, TunggulTunggul Gerigis, Srengenge, Rentong, Menteri, Tok Guru, Ummi dan Abang Syeikhul, TIVI mahupun SHIT menjadi buruan sekalian kolektor buku.

Mereka sanggup membayar dengan harga yang mahal bergantung kepada kondisi buku. Keadaan ini meletakkan nilai buku terpakai laris di pasaran semasa.

Kuala Lumpur sendiri pernah ada Pasar Buku iaitu Pasar Buku Rumah PENA yang diadakan bertempat di perkarangan Rumah Persatuan Penulis Nasional (PENA) berhampiran bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Cuma mungkin lokasinya agak kurang strategik, penganjurannya hanya dapat bertahan selama setahun sebelum ‘tutup kedai’ apabila ia kurang mendapat sambutan.

Tahun ini Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan ‘KL Baca – Caring Through Reading’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kuala Lumpur dipilih kerana fokus yang tinggi terhadap pendidikan yang inklusif, pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan kebolehcapaian membaca kepada segenap populasinya.

Program ini menumpukan empat tema, iaitu membaca dalam semua bentuk, pembangunan infrastruktur industri buku, inklusif dan akses digital dan pemberdayaan kanak-kanak melalui membaca.

Antara salah satu faktor yang membawa kepada penobatan ini ialah akses rakyat terhadap bahan bacaan.

PASAR buku Kuala Lumpur.

Jalan TAR di Kuala Lumpur antara lokasi tumpuan rakyat dan sangat berstrategik untuk dunia buku juga bertumpu di situ.

Di kiri kanan Jalan TAR sekarang pun sudah mempunyai beberapa buah kedai buku. Cuma ia memasarkan buku-buku baru.

Laman tepi Coliseum Theatre antara lokasi yang difikirkan sangat bersuaian untuk dijadikan pusat pertemuan dan jualan buku-buku terpakai dengan menghimpunkan sejumlah penjual mahupun kolektor setiap hujung minggu.

Ia bakal menarik perhatian pengumpul, penjual mahupun pelancong untuk mendapatkan sejumlah koleksi buku-buku terpakai yang bermutu dan bernilai.

Selain akses tempat yang mudah dengan pelbagai kemudahan pengangkutan awam serta kawasan tumpuan, ia secara tidak langsung menyemarakkan lagi aktiviti perbukuan sesuai dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020 tahun ini.

Buku tidak mati. Ia hidup sepanjang zaman. Cuma khalayaklah yang akan memberi nilai kepadanya, – sama ada ia bernilai atau tidak.

Kuala Lumpur sewajarnya mengambil peluang ini untuk meraikan kaki buku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas