Berita

Cadangan syarikat urus air WP: KWP kaji sudut undang-undang dan akta berkaitan

Program Bubur As-Syura anjuran bersama Surau Annajah Presint 9 dan Perbadanan Putrajaya petang tadi
- Diterbit 9 September 2020 12:12 PM MYT

CADANGAN penubuhan syarikat pengurusan air Wilayah Persekutuan telah dibincang di dalam mesyuarat pasca kabinet Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sebelum krisis bekalan air berlaku pada minggu lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, beliau terlebih dahulu telah membawa perkara berkenaan dan membuat beberapa pengesyoran berkaitan dengan cadangan itu.

“Saya telah minta untuk dibuat kajian yang serius dan ia perlu dilihat dari sudut undang-undang dan akta-akta berkaitan yang sedia ada,” katanya kepada pemberita pada Program Bubur As-Syura anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hasim.

Menurut Annuar, sekiranya Wilayah Persekutuan mempunyai Perbadanan Pengurusan Air sendiri, ia boleh merancang kehadapan terutama dalam menguruskan sumber airnya sendiri.

“Putrajaya dan Kuala Lumpur mempunyai banyak sumber air seperti tasik dan sungai-sungai yang mengalir sepanjang masa dan merentasi Kuala Lumpur.

“Tetapi air-air ini tidak diproses dan tidak digunapakai untuk tujuan bekalan air minum dan lain-lain kegunaan untuk kehidupan,” katanya.

Annuar memberitahu, beliau juga telah meminta KWP untuk melihat kepada teknologi-teknologi yang boleh digunakan untuk memproses dan merawat air bagi tujuan itu.

“Sebagai contoh di Singapura ada Newater iaitu air daripada sistem pembentungan yang diproses sehingga mencapai tahap yang boleh digunakan untuk kehidupan manusia.

“Konsep teknologi itu boleh digunakan di sungai-sungai serta tasik dalam Kuala Lumpur dan ia boleh menjamin bekalan air yang sebelum ini banyak bergantung kepada Air Selangor,” katanya. OLEH AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas