Berita

Atlet Sukan SEA Wilayah terima insentif RM93,700

ANNUAR (kiri) beramah mesra bersama atlet Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
- Diterbit 18 Jun 2020 3:33 AM MYT

TEMASYA Sukan SEA ke-30 di Filipina tahun lalu mencatat memori indah buat 96 atlet Wilayah Persekutuan yang berjaya menyumbang 23 pingat emas, 11 pingat perak dan 15 pingat gangsa merangkumi pelbagai acara.

Ia merupakan antara pencapaian terbaik atlet Wilayah Persekutuan dalam temasya gilang gemilang tersebut.

Justeru, atas dedikasi dan prestasi cemerlang mereka, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperuntukkan insentif sebanyak RM93,700 kepada atlet yang berjaya memenangi pingat.

Imbuhan sebanyak RM2,000 kepada pemenang pingat emas, RM1,500 kepada pemenang pingat perak dan RM1,000 kepada pemenang pingat gangsa tersebut disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.

Rata-rata atlet Wilayah antaranya atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri; atlet Obstacle Course Race (OCR), Yip Hui Teng; atlet Kick Boxing, Mohammed Mahmoud dan atlet karate; Prem Kumar Selvam menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas penghargaan tersebut. Malah mereka juga semakin bersemangat untuk terus menyumbang pingat di kejohanan peringkat antarabangsa pada masa hadapan.

Idam ke Olimpik Tokyo

KETANGKASAN Prem (kiri) menggentarkan pihak lawan.

PEMEGANG pingat emas dalam acara karate kumite bawah 55 kilogram, Prem Kumar Selvam, 26, berhasrat untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo pada tahun hadapan. Untuk itu, dia gigih berusaha untuk membuktikannya.

Prem yang kini sedang berada di Kem Latihan Pusat Program Road To Tokyo (RTT) di Kompleks Sukan Bukit Jalil berharap dia berjaya tersenarai ketika pemilihan ke temasya tersebut yang akan berlangsung tahun hadapan.

“Bersungguh-sungguh dalam setiap apa yang dikerjakan. Itu yang saya lakukan saat ini. Saya ingin mencipta lebih banyak lagi kejayaan pada masa hadapan terutamanya pada peringkat dunia,” katanya kepada Wilayahku.

Menyentuh tentang insentif yang diterima, Prem bangga kerana di­hargai sebagai atlet Malaysia dan lebih bersemangat untuk mengharumkan nama Wilayah Persekutuan pada masa akan datang.

Wujudkan fasiliti sukan OCR

SUNGGUHPUN hanya meraih pingat perak pada Sukan SEA tahun lalu namun itu sudah cukup membanggakan buat atlet Obstacle Course Race (OCR), Yip Hui Teng, 29, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan fasiliti sukan tersebut di Malaysia.

Sukan yang baru sahaja dipertandingkan pada temasya tersebut mempunyai ramai peminat di seluruh dunia tetapi masih agak kurang popular di Malaysia. Pun begitu, ia tidak mematahkan semangatnya untuk setia bersama OCR.

“Saya harap suatu masa nanti, Malaysia akan mempunyai pusat latihan yang standard buat OCR.

HUI TENG (dua dari kanan) ketika beraksi dalam sukan OCR.

Ini kerana kami para atlet tidak mempunyai tempat yang bersesuaian untuk berlatih seperti yang terdapat di Filipina dan tempat lain.

“Setakat ini, atlet hanya menjalankan latihan di rock clim­bing gym, bukan gimnasium yang bersesuaian. Jadi ia menimbulkan kesulitan untuk kami berlatih dengan lebih profesional untuk sukan bertaraf dunia ini,” ujarnya.

Menyentuh tentang masa hadapan sukan tersebut, Hui Teng berharap agar lebih ramai lagi atlet muda yang akan memeriahkan sukan OCR memandang­kan ia mempunyai masa hadapan yang cerah di peringkat antarabangsa.

“Komuniti sukan ini besar di luar negara berbanding Malaysia namun sejak kebelakangan ini, saya lihat remaja terutamanya sukakan sukan yang penuh cabaran seperti ini,” kata Hui Teng.

Bentuk diri lebih berdisplin

BERADA di tempat kedua selepas pihak tuan rumah Filipina tahun lalu, atlet kick boxing, Mohammed Mahmoud, 24, menganggap insentif itu adalah rezeki yang datang tepat pada masa.

“Saya merupakan peninju sepenuh masa jadi apabila negara dilanda wabak Covid-19, maka ia memberi kesan kepada saya. Dengan adanya insentif ini sekurang-kurangnya ia dapat memudahkan urusan,” ujarnya.

MOHAMMED (kanan) digeruni ketika di gelanggang.

Beralih kepada sukan kick boxing, Mohammed bercita-cita untuk bergelar juara dunia sedikit masa lagi. Bagi memastikan impiannya menjadi kenyataan, atlet ini sentiasa mementingkan disiplin latihan.

“Dulu saya seorang yang malas bekerja tetapi apabila menyertai sukan ini semuanya berubah. Seawal subuh saya sudah bangun untuk berjoging dan seterusnya terus berlatih untuk tempoh lebih dua jam sehari,” ujarnya.

Biarpun ramai yang menganggap sukan yang diceburinya itu agak kasar namun dia bersyukur kerana kick boxing banyak mengubah hidupnya menjadi seorang anak muda yang lebih menghormati golongan tua.

“Saya lebih menghargai golongan ini terutamanya keluarga. Masa yang terluang banyak dihabiskan dengan mereka berbanding dahulu. Sejujurnya sukan ini turut mengubah hidup saya 360 darjah dan menjadikan lebih baik berbanding dahulu,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas