Berita

90 program, projek diluluskan untuk pembangunan Labuan

Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
- Diterbit 2 Disember 2024 4:43 PM MYT

KERAJAAN Persekutuan telah meluluskan 90 program dan projek pembangunan untuk Wilayah Persekutuan Labuan dengan jumlah kos keseluruhan bernilai RM1.66 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan di bawah Rolling Plan Kelima 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 22 adalah program dan projek baharu manakala 68 lagi program dan projek sambungan.

“Program dan projek baharu yang telah diluluskan merangkumi pelbagai sektor penting seperti infrastruktur air, perumahan serta kemudahan awam yang melibatkan sektor pendidikan, rekreasi, pengangkutan dan kesihatan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Anifah Aman mengenai projek-projek pembangunan untuk Labuan selain daripada pemasangan 180 kamera litar tertutup yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2025.

Dr Zaliha berkata, pelaksanaan projek-projek terbabit dijangka memberi manfaat yang besar kepada penduduk Labuan secara keseluruhan selain menyokong pelbagai industri yang terdapat di wilayah berkenaan.

Walau bagaimanapun katanya, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi sedang dalam penyediaan perancangan projek pembangunan bagi RMK-13.

“Dalam hubungan ini JWP akan berusaha merancakkan aktiviti pelancongan dengan memastikan keterhubungan pengangkutan udara dan laut diperbaiki, jumlah kemudahan penginapan ditambah, di samping memudah cara urusan transhipment supaya ekonomi Labuan akan bertambah rancak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas