DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merobohkan sembilan buah struktur tambahan yang menutup longkang dan laluan awam dalam satu operasi pada Isnin.
Dalam hantaran di laman Facebook, DBKL berkata dua buah premis lagi telah membuka struktur tambahan yang dibina itu sendiri.
“Sebanyak tujuh kes sitaan serta-merta telah dilaksanakan atas kesalahan meletakkan barangan di tempat awam di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Kesemua sisa struktur yang dirobohkan telah dilupuskan oleh DBKL selepas tamat operasi yang dijalankan.
“Manakala kesemua barangan yang dikenakan tindakan sita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya hari ini.
Menurutnya, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Integriti, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Pejabat Cawangan Bukit Bintang telah melaksanakan operasi bersepadu roboh struktur haram di rezab jalan awam di sekitar kawasan Bukit Bintang.
“Antara agensi sahabat yang turut terlibat dalam operasi tersebut adalah Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Pembersihan Awam serta Alam Flora,” katanya.
Tambahnya, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.-WILAYAHKU