Oleh KHAIRUL IDIN
SEBANYAK 85 ekor anak penyu spesies terancam berjaya dilepaskan di perairan Labuan bagi memastikan hidupan laut itu tidak diancam kepupusan kelak.
Usaha murni itu dilaksanakan oleh Kelab Lions Mandarin Labuan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Labuan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
Sesi pelepasan itu diadakan di Pusat Konservasi Penyu Pulau Rusukan Besar disaksikan 80 sukarelawan terdiri daripada pelajar Sekolah Antarabangsa Labuan, Sekolah Menengah St Anthony dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun.
Menurut Presiden Kelab Lions Mandarin Labuan, Chia Sia Theng, usaha tersebut bagi menyokong Kempen Hari Alam Sekitar Sedunia untuk memerangi pencemaran plastik sekali gus memperjuangkan kesejahteraan hidupan laut.
“Kita berharap inisiatif ini mampu meningkatkan kesedaran dalam melindungi hidupan yang terancam. Dalam masa yang sama, para pelajar turut mendengar taklimat tentang usaha pemuliharaan penyu yang dijalankan di Pulau Rusukan Besar oleh Ketua Pemuliharaan Penyu dan Marin, Jabatan Perikanan Labuan, Ryanto Saifuddin.
“Aktiviti pendidikan tersebut amat penting di mana para pelajar juga dapat menghargai serta memulihara khazanah alam sekitar daripada pencemaran. Diharapkan pada masa akan datang kita akan terus bekerjasama dengan pihak yang terlibat,” katanya kepada pemberita semasa Program Pembersihan Pantai dan Pelepasan Anak Penyu di Pusat Konservasi Penyu Pulau Rusukan Besar, baru-baru ini.
Sementara itu, sesi pembersihan pantai di kawasan Pulau Rusukan Besar yang diadakan adalah bagi memastikan perairan laut bebas daripada sampah sarap atau bahan berbahaya. – WILAYAHKU