Oleh HAZIRAH HALIM
Foto oleh AMINULLAH FARIJ
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengucapkan syabas dan tahniah kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian di pelbagai peringkat termasuk ibu bapa dan keluarga yang sentiasa memberi dorongan kepada para graduan sehingga mencapai kecemerlangan dalam akademik.
“Saya berasa bangga kerana IKN menunjukkan pencapaian yang setara dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam aspek kebolehpasaran graduan.
“Semenjak tahun 2001 hingga 2022, IKN berjaya melahirkan seramai 2,892 orang graduan dan Data Pengesanan Graduan IKN turut menunjukkan 82 peratus graduan berjaya menembusi pasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang.
“Saya percaya keusahawan dalam bidang kraf dapat menjana pendapatan. Ini dapat dilihat menerusi jualan kraf sehingga September 2023 yang mencapai RM250.1 juta berbanding tahun 2022 iaitu RM211 juta sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus,” katanya menerusi teks yang dibacakan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman.
Jelasnya, bagi menyokong perkara ini, kerajaan akan memperkenalkan Program Komuniti MADANI di bawah seliaan Unit Penyerlarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk merancakkan sektor jahitan dan kraf tangan dengan peruntukan RM1 bilion bagi menyediakan geran antara RM50,000 hingga RM100,000.
Sementara itu, penuntut Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan di Institut Kraf Negara (IKN) bagi jurusan Diploma Seni Kraf Kayu, Mohamad Amirul Shafiq Shaari, 22, mengakui prinsip terus berusaha lebih daripada orang lain membolehkannya memperoleh kejayaan cemerlang.
Amirul menerima anugerah itu pada Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) kali ke-21 yang berlangsung pada 2 November di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Susulan kejayaan itu, Amirul menerima sebuah trofi, medal dan sijil daripada IKN.
“Saya berpegang teguh dengan prinsip tersebut untuk memberikan keputusan cemerlang dan terbaik kepada kedua ibu bapa termasuk guru-guru serta diri sendiri.
“Saya bukanlah golongan yang bijak pandai tetapi saya sentiasa ingat pesanan ibu dan ayah yang mengatakan tidak pandai mana seseorang itu, jika dia berusaha maka ia akan dapat hasilnya.
“Alhamdulillah, dengan prinsip tersebut juga, saya berjaya mendapat keputusan cemerlang 4 flat sebanyak tiga kali,” katanya dia sudah mendapat tawaran daripada pihak Kraftangan Malaysia untuk membuka inkubator di Temerloh, Pahang.
Terdahulu, seramai 115 graduan diraikan pada Istiadat Konvokesyen berkenaan.
Seramai tiga orang graduan turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan iaitu Mohamad Amirul Shafiq Shaari bagi program Diploma Seni Kraf Kayu, Izhar Hakimi Isrunisyam (Sijil Seni Kraf Kayu) dan Fatimah Nadia Mohd Puldin @ Amir (SKM Penyelia Tenunan Songket dan Daster) – WILAYAHKU