Artikel

800 kakitangan MCMC zahir semangat patriotik

MOHAMAD SALIM (kanan) menyampaikan hadiah kepada para
- Diterbit 8 September 2023 10:30 AM MYT

BAGI menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, Bahagian Modal Insan (HCD), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan Program Warisan Malaysia.

Bertempat di Menara 1, MCMC, Cyberjaya, program tahunan yang dimeriahkan 800 orang kakitangan organisasi tersebut dirasmikan oleh Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Beliau dalam ucapan perasmian berkata, antara objektif program tersebut adalah untuk menzahirkan rasa cinta terhadap negara sekali gus mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kerja MCMC.

“Ini merupakan program tahunan yang dianjurkan di mana HCD sentiasa mengambil peluang untuk menganjurkan program yang dapat menerapkan semangat kekitaan serta menerapkan rasa cinta kepada negara.

“Perkara ini juga sejajar dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penglibatan pekerja dengan menganjurkan program sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023,” ujar beliau.

Beliau juga turut menyifatkan perjalanan suruhanjaya tersebut ibarat sebuah negara yang telah melalui pelbagai cabaran dan dalam masa yang sama banyak kejayaan telah dicapai.

“Kita telah mengharungi kesukaran dengan ketabahan dan kita mesti merebut setiap peluang yang datang dengan kesungguhan.

“Saya berharap dengan budaya yang ada di MCMC akan terus menyatukan kita dan mendorong membina jati diri yang lebih kuat sambil kita berusaha untuk mencapai matlamat,” kata beliau dalam Majlis Perasmian Penutup Program Warisan Malaysia yang diadakan di Menara 1, MCMC, Cyberjaya pada 30 Ogos 2023.

Tambah beliau, keunikan penganjuran pada kali ini adalah lebih memfokuskan kepada tema batik dan songket.

“Kalau penganjuran sebelum ini bertemakan permainan tradisional di mana aktiviti-aktiviti yang disediakan seperti permainan congkak, batu seremban dan lain-lain.

“Namun pada kali ini, kita mengadakan Pertandingan Mewarna Corak Batik di mana penyertaan yang diterima juga sangat menggalakkan dengan sebanyak 150 peserta dan 25 pemenang telah dipilih.

“Selain itu, antara aktiviti lain adalah Pertandingan Kuiz Kemerdekaan, Mereka Sajak Kemerdekaan, Dekorasi Aras Ibu Pejabat dan Pejabat Negeri serta banyak lagi.

“Diharapkan dengan penyertaan yang meriah ini dapat memupuk semangat cintakan negara dalam diri setiap individu dan sikap patriotik itu juga perlu diteruskan sepanjang bulan September serta seterusnya,” jelas beliau meskipun tiada sebarang penganjuran program sempena Hari Malaysia namun kibaran Jalur Gemilang di pejabat masing-masing masih diteruskan.


PASAR MERDEKA MARTABAT BATIK MALAYSIA

SELAIN mempamerkan pelbagai aktiviti menarik, Program Warisan Malaysia turut dimeriahkan dengan jualan produk-produk tempatan di Pasar Merdeka pada 29 Ogos lalu bermula seawal pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Menariknya, jualan di Pasar Merdeka tersebut mendapat kerjasama lapan vendor daripada pelbagai kategori jualan seperti perniagaan pakaian baju batik dan kurung, Bayu Somerset, Puteh RTW, Nyonya kain, Matase Sutera dan Love Tulippe selain Richiamo Coffee MCM, Pal Litt Ice Cream serta produk kraf (rotan), Aryanaukee Rattan Craft.

Salah seorang peserta jualan dari Butik Matase Sutera, Anis Fatihah berkata sempena jualan tersebut, butiknya mempromosikan baju batik Malaysia dengan potongan harga sebanyak 10 peratus pada setiap pakaian yang dijual.

“Kami mempromosikan keunikan batik Malaysia di mana ia merupakan satu kesenian warisan lampau yang mempunyai identiti serta wajar dimartabatkan sehingga kini.

“Memandangkan penjawat awam juga dikehendaki memakai baju batik Malaysia pada setiap hari Khamis, jadi kami ambil peluang menawarkan potongan harga serendah 10 peratus kepada pekerja-pekerja MCMC, harga kita bermula RM250 dan ke atas.

“Sempena jualan satu hari istimewa itu juga, kami bukan sahaja mempromosikan batik Malaysia dengan harga murah tetapi juga memperkenalkan koleksi-koleksi yang menggunakan corak batik canting dari negeri Kelantan selain ketahanan dan kualiti pakaian yang lembut, elegan dan mewah,” katanya kepada Wilayahku.

Anis Fatihah juga menyokong seruan kerajaan yang menetapkan pemakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis, berkuat kuasa 21 Ogos 2023 lalu adalah langkah terbaik untuk memartabatkan penggunaannya dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Secara tidak langsung, ia juga dapat meningkatkan permintaan terhadap batik Malaysia sekali gus dapat membantu para pengusaha batik untuk berkembang lebih maju dalam perniagaan,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada MCMC mengadakan jualan Pasar Merdeka sekali gus menyokong jualan pengusaha tempatan.

Sementara itu, Pengusaha Butik Puteh, Nurul Hasimah berkata pihaknya mempromosikan pelbagai koleksi baju moden bercorakkan floral dengan harga promosi bermula RM95.

“Umum mengetahui, baju kurung adalah salah satu baju tradisi dan sempena bulan HKHM 2023 ini, kami tampilkan pelbagai koleksi baju kurung moden dengan harga yang berpatutan.

“Baju kita berbeza dengan kedai jualan lain kerana kebanyakan rekaan adalah bermotifkan klasik dan mengikut cita rasa masyarakat Malaysia selain material yang selesa, tidak panas dan cantik apabila dipakai,” katanya yang turut mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas